Sabtu, 21 Mac 2009

1,000 ditawar guru kontrak

PUTRAJAYA 20 Mac - Sebanyak 1,000 siswazah akan dilantik sebagai guru kontrak di bawah program Tenaga Pengajar Secara Kontrak dengan peruntukan RM48 juta.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, guru-guru yang terpilih dijangka dapat memulakan perkhidmatan selewat-lewatnya pada Mei ini.

Beliau berkata, peluang tersebut dibuka kepada semua peringkat pencari kerja sama ada siswazah atau mereka yang sedang mencari pekerjaan.

"Proses pengambilan akan bermula dalam tempoh terdekat dan makluman tentang tawaran itu akan dikeluarkan dalam portal kementerian sedikit masa lagi.

"Pengambilan mereka akan melibatkan semua kategori sekolah sama ada sekolah rendah atau menengah di seluruh negara termasuk sekolah sukan, sekolah menengah teknik, sekolah agama dan lain-lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan belanja mengurus sebanyak RM144 juta, diagihkan di bawah bajet mini yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac lalu.

Daripada keseluruhan RM60 bilion yang diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua itu, sebanyak RM2.093 bilion disediakan kepada bidang pendidikan iaitu meliputi RM1.949 bilion bagi pembangunan pendidikan selain RM144 juta untuk belanja mengurus.

Hishammuddin berkata, setakat ini kementerian sedang menunggu syarat-syarat pelantikan yang sedang diselaraskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi digunakan oleh semua kementerian.

"Kementerian bagaimanapun telah membuat persediaan bagi membuat pelantikan itu demi memastikan segala keputusan yang dihasratkan menerusi pakej rangsangan ekonomi tersebut dapat dilaksanakan seberapa segera," katanya.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor untuk menempatkan 3,000 siswazah yang mempunyai kelulusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah.

"Saya berharap usaha ini dapat membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sekali gus merangkaikan warga sekolah secara interaktif melalui Schoolnet," katanya.

Utusan Malaysia Online: 21 Mac 2009

Tiada ulasan: