Ahad, 15 Mac 2009

Nostalgia Abdullah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam


Abdullah Ahmad Badawi (kanan) bersama guru kelasnya dulu, Ong Poh Kee (kiri) serta seorang rakannya melihat kedudukan meja dan bilik darjah yang pernah digunakan Perdana Menteri ketika zaman persekolahan.– UTUSAN/SHAMSUDIN SALEH


BUKIT MERTAJAM 14 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini kembali ke sekolah lamanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) di sini untuk menyorot kenangan kali pertama ‘mencipta’ tandatangan yang kekal digunakan sehingga hari ini.

Beliau belajar di sekolah tersebut sejak tahun 1940-an sehingga 1957.

Kata Perdana Menteri, ketika itu beliau dalam tingkatan dua dan mencipta tandatangan yang keistimewaannya adalah di bahagian hujungnya.

“Secara asasnya itulah tandatangan yang saya reka dan saya gunakan sehingga hari ini. Oleh itu, apabila saya menandatangani buku alumni sekolah, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan tandatangan saya itu.

“Jadi, saya minta menandatanganinya semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Warisan HSBM dan Majlis Makan Tengah Hari dan perjumpaan bekas penuntut HSBM di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Alumni HSBM, Datuk S. Kulasegaran dan rakan-rakan sekelas Perdana Menteri ketika sama-sama belajar di sekolah ini

Selain itu, hadir sama Pengetua HSBM, Mohd. Ghazali Abu Bakar, guru-guru dan kira-kira 400 pelajar sekolah tersebut.

Pada majlis itu juga, Dewan HSBM hari ini secara rasmi ditukar nama kepada Dewan Abdullah Haji Ahmad Badawi sempena mengambil nama Perdana Menteri.

Abdullah berkata, dahulu, sebagai pelajar di sekolah, beliau tidak pernah membayangkan dirinya berdiri di hadapan orang ramai untuk memberikan ucapan.

Perdana Menteri yang juga Penaung Alumni HSBM gembira kerana dapat menjenguk sekolah lamanya itu yang menyimpan segala kenangan ketika di bangku sekolah.

Beliau berkata, adalah penting bangunan sekolah ini dibina semula dan dikekalkan untuk diwarisi oleh pelajar akan datang.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada seluruh warga sekolah HSBM agar memelihara bangunan sekolah yang telah dibina semula.

Menurut Abdullah, di sekolah inilah juga permulaan baginya bergaul dengan rakan-rakan bukan Melayu serta kali pertama mempelajari Bahasa Inggeris.

Bangunan blok C sekolah tersebut yang usang telah dibaik pulih dengan kos berjumlah RM4.16 juta.

Utusan Malaysia Online: 15 Mac 2009

Tiada ulasan: