Jumaat, 13 Mac 2009

Murid SK Sungai Abong jalani latihan kebakaran

gai Abong jalani latihan kebakaran


ON Jaafar dengan seliaan pegawai bomba membuat demonstrasi menggunakan alat pemadam kebakaran di Sekolah Kebangsaan Sungai Abong, Muar, semalam.


MUAR 11 Mac - Lebih 700 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Abong di sini teruja mengikuti latihan kebakaran yang diadakan di sekolah tersebut hari ini bagi memberi pendedahan mengenai aspek keselamatan.

Program selama dua jam yang bermula pukul 11 pagi itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar yang memberi ceramah dan penerangan mengenai perkara berkenaan.

Dengan matlamat untuk memberi panduan kepada para murid untuk bertindak sekiranya berlaku kebakaran, program tersebut turut membabitkan demonstrasi memadam kebakaran.

Menurut Guru Besar, On Jaafar, program latihan kebakaran itu merupakan aktiviti tahunan yang bertujuan memberi pendedahan keselamatan kepada para murid sekolah berkenaan.

"Kami mendapat kerjasama yang amat baik daripada pihak bomba dan alhamdulillah, murid-murid sekolah ini turut memberi tumpuan penuh kepada ceramah dan panduan yang diberikan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pemantauannya, murid-murid dan para guru sekolah itu nyata mematuhi segala arahan yang diberikan dan bersedia untuk memberi respons sepatutnya sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Unit Latihan Bomba Muar, Razali Ismail memberitahu, latihan kebakaran diadakan pihaknya secara berterusan di setiap sekolah di daerah ini.

"Saya menasihati murid-murid untuk tidak bermain dengan api kerana ia boleh mengakibatkan kebakaran besar sekiranya tidak diselia," katanya.

Katanya, murid-murid juga diingatkan supaya tidak menyalahgunakan alat pemadam kebakaran yang disediakan kerana ia amat diperlukan ketika waktu kecemasan.

Utusan Malaysia Online: 12 Mac 2009

Tiada ulasan: