Khamis, 12 Mac 2009

Sekolah Terbilang: Berkat Muafakat

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
bhnews@bharian.com.my


KEBUN sayur-sayuran yang diusahakan guru dan murid SK Kuala Kubu Bharu 1.

Kerjasama warga SK Kuala Kubu Bharu 1 berjaya tingkat mutu akademik, kokurikulum

WALAUPUN berstatus sekolah luar bandar, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu 1 tetap menonjol dalam bidang akademik dan kokurikulum hasil kerjasama erat serta komitmen tinggi ditunjukkan warga sekolah itu.

Permuafakatan warga sekolah berusia 52 tahun itu mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan Sekolah Harapan Negara kategori luar bandar pada 1998.


Anugerah diberi berikutan kejayaan meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh merangkumi kecemerlangan murid, hala tuju kepimpinan, pengurusan organisasi dan program pendidikan.

Penerimaan anugerah sulung di peringkat kebangsaan itu menyuntik semangat warga sekolah untuk terus melakar kejayaan dengan memberi tumpuan bidang kebitaraan.

Antaranya, mengekalkan pencapaian terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu jumlah lulus dalam peperiksaan itu melebihi 60 peratus setiap tahun.

PASUKAN boria sekolah sentiasa menjuarai Karnival Seni Jauhi Dadah Hulu Selangor, sejak tahun 2000.

Malah pada tahun lalu, sekolah itu dipilih penerima Anugerah Sekolah Pencapaian Terbaik UPSR 2007 oleh Jabatan Pendidikan Selangor atas kejayaannya melonjak peratusan UPSR daripada 60 pada 2006 kepada 81 peratus.

Guru besarnya, Hamzah Salleh, berkata bagi mengekalkan pencapaian itu, pihaknya mensasarkan meningkatkan peratusan kepada 90 peratus tahun ini.

Antara strategi dilaksana bagi memastikan sasaran tercapai, katanya, mengadakan program motivasi serta teknik menjawab soalan kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan itu.

"Walaupun sekolah ini hanya mempunyai 300 murid dan 30 guru, ia tidak membataskan usaha mengejar kejayaan, sebaliknya terus memantapkan kekuatan dimiliki terutama keupayaan mencapai keputusan cemerlang UPSR.

"Sejak diamanahkan menerajui sekolah ini pada Februari 2006, saya meneruskan usaha melonjak kecemerlangan sekolah dengan memanfaat kekuatan yang ada,” katanya.

Hamzah berkata, antara faktor penyumbang kecemerlangan sekolah adalah komitmen tenaga pengajarnya melaksanakan perancangan dalam pelbagai aspek.

“Kami mempunyai 11 guru siswazah termasuk dua guru cemerlang Bahasa Melayu serta Pendidikan Muzik dan mereka antara penyumbang utama membangunkan kecemerlangan akademik,” katanya.

Mengenai pencapaian kokurikulum, Hamzah berkata, pertandingan kawad kaki dan boria antara kegiatan yang kerap dimenangi sekolah khususnya di peringkat daerah Hulu Selangor.

“Pasukan Tunas Puteri dan Tunas Kadet Remaja berjaya mengekalkan kejuaraan pada pertandingan kawad kaki peringkat daerah selama empat tahun berturut-turut sejak 2005 dan pernah mendapat tempat ketiga peringkat negeri.

“Pasukan boria kami amat disegani sekolah lain kerana keupayaan menjadi johan lapan tahun berturut-turut sejak 2000 pada Karnival Seni Jauhi Dadah Hulu Selangor,” katanya.

INFO:

Senarai Kejayaan Sekolah:


1998

  • Anugerah Sekolah Harapan Negara (kategori Sekolah Luar Bandar)

    2000

  • Naib Johan Memanah Majlis Sukan Sukan Sekolah

  • Naib Johan Kriket Ria Majlis Sukan Sukan Sekolah

  • Johan Boling Padang Majlis Sukan Sukan Sekolah

  • Johan Sepak Takraw Bukan Melayu Majlis Sukan Sekolah Daerah

  • Johan Tadarus Al-Quran Daerah Hulu Selangor

  • Johan Bercerita Tahap 1 dan 2 Daerah Hulu Selangor

  • Johan Pertandingan Kuiz Sains

    2001

  • Johan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Hulu Selangor

  • Johan Pertandingan Boria Daerah dan Ketiga Negeri Selangor

    2002

  • Johan Pidato Diraja Hulu Selangor

  • Johan Ragbi Sentuh Hulu Selangor

  • Johan Kriket Ria Hulu Selangor

    2003

  • Johan Boria Kesejadah Hulu Selangor

  • Johan Bercerita Bahasa Inggeris Level 1

  • Johan Pidato Diraja Malaysia Hulu Selangor

  • Johan Keseluruhan Tilawah Al-Quran Hulu Selangor

  • Johan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah

    2004

  • Johan Kawad Kaki Hulu Selangor

  • Naib Johan Pidato Diraja Malaysia

  • Ketiga Kejohanan Ragbi Sentuh Hulu Selangor

    2005

  • Johan Kawad Kaki Tunas Puteri Hulu Selangor

  • Johan Kawad Kaki Pengakap

  • Johan Boria Kesejadah

  • Johan Festival Nasyid Hulu Selangor

    2006

  • Johan Boria Kesejadah

  • Johan Kawad Kaki Tunas Kadet Remaja Sekolah

    2007

  • Johan Kawad Kaki Tunas Kadet Remaja Sekolah

  • Johan Boria Kesejadah

  • Berita Harian Online: 11 Mac 2009

    Tiada ulasan: