Ahad, 15 Mac 2009

Guru pil kuda nahas

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my



PASIR PUTEH: Malang bagi seorang guru kerana selepas kereta dipandunya terbabas lalu melanggar bulatan dan merempuh sebuah wakaf di bandar ini, dia pula ditahan polis selepas kemalangan itu kerana didapati memiliki pil kuda, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, guru berusia 37 tahun itu mulanya terbabit kemalangan selepas kereta jenis Proton Persona dipandunya melanggar bulatan sebelum merempuh sebuah wakaf yang terletak berhampiran.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai memandu laju sebelum melanggar bulatan terbabit dan merempuh pula sebuah wakaf terletak di tengah jalan.

“Berikutan itu, orang ramai segera menghubungi polis, kira-kira jam 11 malam iaitu setengah jam selepas kemalangan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu yang hanya cedera ringan kemudian dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, katanya, ketika menjalankan siasatan lanjut, polis mendapati ujian air kencing lelaki itu positif dadah.

“Pada awalnya, kami hanya menemui sebiji pil kuda pada lelaki berkenaan tetapi siasatan lanjut kemudian menemui satu paket lagi pil berkenaan daripada suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, berikutan itu, lelaki terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kes itu tetapi perlu meneliti laporan berkaitan secara lebih terperinci.

“Setakat ini, kita hanya menerima maklumat yang kes itu membabitkan seorang guru tetapi tidak pasti jawatan atau sekolah tempatnya bertugas.

“Kes ini sudah menjadi kes polis dan kita hanya akan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Pelajaran.

“Kita perlu meneliti laporan kes itu secara terperinci tetapi jika sabit kesalahan, guru berkenaan boleh dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata, kes mengenai pembabitan guru dengan masalah dadah tidak akan diberi sebarang pertimbangan kerana dianggap kes paling serius.

myMetro: 14 Mac 2009

Tiada ulasan: