Rabu, 11 Mac 2009

MT diminta segera campur tangan isu PPSMI

KUALA LUMPUR 9 Mac - "Saya sudah empat kali membawa isu ini ke Perhimpunan Agung UMNO namun tiada sebarang tindakan diambil.

"Justeru demonstrasi yang berlaku kebelakangan ini dapat dijadikan faktor untuk mempercepatkan penyelesaian isu ini secara serius meskipun kita tidak menyokong demonstrasi itu.''

Demikian ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mesti dihapuskan demi kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu sedar ia bukan lagi isu baru namun apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, pucuk pimpinan parti seolah-olah tidak mengendahkannya.

Sehubungan itu, beliau yakin ramai perwakilan akan membawa isu ini pada Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi bagi memastikan tindakan serius diambil segera.

"Saya pasti isu ini akan menarik minat ramai perwakilan untuk membahaskannya selepas berlaku pelbagai demonstrasi dan kejadian yang menggugat keamanan negara," katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai demonstrasi membantah PPSMI baru-baru ini, Mohd. Puad berkata, pihaknya menolak unsur keganasan seperti demonstrasi bagi membantah isu itu.

"Jelas pembangkang sengaja menjadikan isu ini sebagai senjata untuk menyerang UMNO. Paling penting, kerjasama daripada pucuk pimpinan tertinggi untuk menyelesaikan isu ini dengan segera," ujarnya.

Mengulas isu yang sama, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Perak, Datuk Rosli Husin berkata, isu itu akan dibawa dengan lantang semasa Perhimpunan Agung UMNO kelak.

"Ia isu nasional dan seharusnya dibahaskan serta diambil keputusan segera. Kita juga tidak akan terpengaruh dengan cara pembangkang yang sengaja mahu masyarakat berpecah-belah dan mengumpan isu ini untuk memenangkan mereka," katanya.

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Salleh Said Keruak juga tidak menolak kemungkinan isu tersebut bakal dibahaskan pada perhimpunan itu nanti.

Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak patut diperbesarkan hingga ke Perhimpunan Agung UMNO kerama ia hanya memberi kelebihan kepada pembangkang untuk mempertikaikan kewibawaan kerajaan sedia ada.

Utusan Malaysia Online: 10 Mac 2009

Tiada ulasan: