Rabu, 11 Mac 2009

Semua perlu sedar kepentingan PPSMI

KUALA LUMPUR 9 Mac - Semua pihak perlu sedar kepentingan menguasai pelbagai bahasa dan tidak mempolitikkan isu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, isu PPSMI memberi kelebihan kepada pembangkang meraih sokongan rakyat serta mengetepikan kepentingan anak bangsa sendiri.

''Kita harap tiada pihak yang mahu mempolitikkan isu pendidikan. Adalah tidak sihat apabila PPSMI dilihat seolah-olah dihalang dengan alasan tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

''Kita perlu perkasakan guru-guru serta lihat kemampuan mereka. Zaman ini kita harus sedar ilmu itu merupakan jiwa kepada bangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI yang didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan semalam.

Kata Mukhriz, Kementerian Pelajaran harus mengambil kira beberapa perkara yang perlu diubah dan cadangan-cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

''Kita perlu tengok apa yang boleh diubah untuk penambahbaikan selain menjamin kesempurnaan PPSMI.

''Kita perlu utamakan semua pihak dan memikirkan pelan jangka panjang terutama kepada anak-anak bangsa di pedalaman," ujarnya.

Ketika ditanya tentang sikap pembangkang yang dilihat menjadi dalang demonstrasi membantah PPSMI, Mukhriz berkata, sebelum ini pembangkang asyik menghentam UMNO berhubung isu itu.

Malah, katanya, pembangkang sering menuduh UMNO sebagai asabiyah (perkauman) setiap kali membela orang Melayu.

''Sejak bila pula pembangkang mahu mempertahankan bahasa Melayu kerana kita semua tahu selama ini mereka suka menghentam UMNO mengenai isu ini.

Mengulas isu yang sama, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo berkata, isu PPSMI dilihat masih belum cukup sempurna kerana beberapa sistem pelaksanaannya perlu diubah mengikut keadaan semasa.

Katanya, masyarakat tidak boleh menolak kepentingan bahasa Inggeris di peringkat global justeru tindakan menafikannya dilihat suatu kerugian kepada diri sendiri.

''Kita kena akui kepentingan bahasa Inggeris. Kita kena mencari pendekatan baru untuk mengubahsuai pelaksanaannya sekali gus meningkatkan kualiti bahasa Melayu sendiri.

''Pada masa yang sama kita tidak boleh meminggirkan bahasa Inggeris dan pendedahan kepada bahasa tersebut perlu sentiasa dilakukan,'' jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 10 Mac 2009

Tiada ulasan: