Selasa, 10 Mac 2009

Syazmal bimbang pekak ditampar guru disiplin

KUALA NERANG: Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini mungkin hilang pendengaran telinga kanan selepas mendakwa ditampar lebih lima kali oleh guru disiplin, Isnin lalu.

Mohd Syazmal Yusof, 17, berkata doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar yang melakukan pemeriksaan mengesahkan gegendang telinga kanannya pecah akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu.

Katanya, kejadian berlaku di pejabat sekolah selepas dia bergaduh dengan seorang rakan kerana selisih faham, tetapi hanya berdiam diri ketika disoal sehingga menimbulkan kemarahan guru itu.

“Guru terbabit berang dan menampar saya lebih lima kali dengan kedua-dua belah tangannya serentak di pipi kiri dan kanan serta turut terkena telinga sehingga saya hampir terjatuh. Dia turut menampar pelajar yang bergaduh dengan saya.

“Kami dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang kerana pihak sekolah mahu polis menyiasat punca kami bergaduh. Sejak kejadian itu, kedua-dua telinga sakit dan saya sukar tidur,” katanya di sini, semalam.

Bapanya, Yusof Ahmad, 47, berkata beliau ke sekolah sehari selepas kejadian untuk meminta penjelasan guru berkenaan yang bagaimanapun langsung tidak menunjukkan tanda kesal atau meminta maaf atas perbuatannya.

Beliau kesal kerana guru disiplin itu bertindak keterlaluan sehingga pendengaran anaknya terjejas dan turut menyebabkan Mohd Syazmal takut ke sekolah.

“Saya tidak kisah jika guru menghukum anak, tetapi gunakan pertimbangan dan jangan bertindak keterlaluan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerang dan turut menimbang tindakan undang-undang terhadap guru terbabit.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Berita Harian Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: