Khamis, 12 Mac 2009

1,204 calon di Melaka lulus penuh

MELAKA 10 Mac - Sebanyak 96.01 peratus daripada 1,254 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di negeri ini lulus penuh iaitu meningkat berbanding 2007.

Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Isa Abu berkata, jumlah tersebut meningkat 0.03 peratus iaitu 1,204 pelajar berbanding 1,692 pelajar yang memperoleh lulus penuh pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, jumlah yang memperoleh lima prinsipal juga meningkat 54 pelajar berbanding 48 orang pada 2007.

"Namun, jumlah yang memperoleh empat prinsipal menurun iaitu 612 pelajar berbanding 827 pelajar pada 2007 manakala pencapaian tiga prinsipal menurun iaitu 252 pelajar berbanding 323 pelajar.

"Jumlah mereka yang memperoleh dua prinsipal ialah 169 pelajar, menurun berbanding 229 pelajar pada 2007 manakala satu prinsipal 117 orang berbanding 196 pelajar pada sebelumnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Isa memberitahu, penurunan pencapaian prinsipal STPM 2008 disebabkan kekurangan calon yang mengambil peperiksaan itu pada tahun lalu iaitu 1,254 pelajar berbanding 1,692 pelajar tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pelajar STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 juga berkurangan iaitu 26 pelajar berbanding 44 pelajar tahun sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah itu, 14 pelajar dari SMK Tinggi Melaka, SMK Munshi Abdullah (empat), SMK Gajah Berang (tiga), SMK Pulau Sebang (dua) dan masing-masing seorang pelajar dari SMK Yok Bin, SMK Tun Tuah dan SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam.

"SMKA Sultan Muhammad yang baru kali pertama mengambil peperiksaan STPM tahun lalu, tersenarai sebagai salah sebuah sekolah yang mencapai keputusan 100 peratus lulus.

"Kita juga berbangga apabila seorang pelajar dari SMK Gajah Berang, Foo Jong Yi menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2008 peringkat kebangsaan," katanya.

Isa menambah, 10 sekolah mencatat prestasi 100 peratus lulus penuh, antaranya SMKA Sultan Muhammad, SMK Dato Dol Said, SMK Gajah Berang, SMK Lubok China dan SMK Munshi Abdullah (A)., SMK Tinggi Melaka (A), SMK Infant Jesus, SMK Pulau Sebang, SMK Yok Bin dan SMK Seri Kota.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: