Selasa, 31 Mac 2009

PPSMI diteruskan di sekolah menengah?

KUALA LUMPUR 30 Mac - Keputusan kerajaan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diumumkan tidak lama lagi, tidak semestinya dengan meneruskan dasar itu bulat-bulat atau menolaknya sama sekali.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, apa yang diutamakan ialah menyesuaikan dasar itu mengikut pencapaian kanak-kanak tempatan.

"Sama ada kita memansuhkan PPSMI atau tidak, saya percaya itu tidak menentukan atau memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan.

"Kementerian mempunyai cadangan yang hendak dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Salah satu ialah menggunakan bahasa Melayu di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Jelas Hishammuddin, cadangan lain ialah memulakan PPSMI di tahun empat sehingga sekolah menengah dan menggunakan bahasa penghantar yang ditentukan oleh sekolah sendiri.

"Satu lagi cadangan ialah menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di tahun satu hingga tiga diikuti dwibahasa pada tahun empat hingga enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah.

"Jangan lihat PPSMI saja yang menentukan kelangsungan dan kedudukan bahasa kebangsaan kerana usaha memartabatkan bahasa memerlukan pelbagai pendekatan serta penggemblengan semua pihak," katanya.

Sementara itu dalam jawapan kepada soalan asal Firdaus, Hishammuddin menjelaskan, empat perkara utama yang diambil kira berhubung isu PPSMI ialah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus dimartabatkan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan para pelajar diperkasakan.

"Dua lagi perkara yang diambil kira ialah kompetensi guru mengajar Sains dan Matematik serta pencapaian murid dalam kedua-dua mata pelajaran itu terus dipertingkatkan," katanya.

Tambah Hishammuddin, dalam konteks PPSMI yang melibatkan pelaburan besar, tenaga pengajar yang ramai iaitu 165,000 guru dan enam juta murid yang melalui dasar ini, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti semua kajian.

"Semua pihak tidak perlu terlalu emosi kerana sememangnya isu ini sesuatu isu yang penting. Akhirnya kalau kita silap membuat keputusan, kita akan ralat 10 atau 20 tahun.

"Kemudian ketika itu anak-anak kita toleh ke belakang dan kata mereka inilah yang membuat keputusan tidak bijak dan tidak tepat," katanya.

Utusan Malaysia Online: 31 Mac 2009

Tiada ulasan: