Sabtu, 14 Mac 2009

Pemimpin perlu atasi masalah PPSMI - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 13 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengatasi masalah yang wujud dalam pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, masalah seperti soal kelemahan guru dalam menguasai bahasa Inggeris itu sendiri sebenarnya boleh diatasi sekiranya kepimpinan kerajaan dapat mengkaji dan meneliti perkara tersebut.

''Apa pun apa yang kita nak mula, akan ada masalah, maka tugas pemimpin ialah untuk atasi masalah itu.

''Kalau kita kata guru tak tahu bahasa Inggeris, kita boleh ajar guru untuk faham bahasa Inggeris dan zaman ini guna perisian komputer, amat mudah malah dia bukan sahaja boleh mengajar tetapi belajar bersama murid.

''Takkanlah guru kita ini sampai tak boleh belajar bahasa. Saya bukan orang putih, orang Melayu, tapi boleh juga cakap orang putih,'' katanya pada sidang akhbar mengumumkan perasmian bangunan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Sahoca, Datuk Syed Abdul Jabbar Shahabudin.

Bangunan yang terletak di Kelana Jaya itu bakal dirasmikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 20 Mac ini.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan dasar PPSMI perlu diteruskan kerana dasar tersebut yang dimulakan ketika era pentadbirannya bukan bertujuan untuk mempelajari bahasa tetapi mempelajari bahasa untuk menguasai cabang ilmu.

Katanya, sains adalah subjek yang tidak statik kerana ia berkembang hampir setiap jam dengan ratusan kertas kajian dalam ilmu sains diterbitkan dalam tempoh itu dan untuk mencari orang bagi menterjemah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu adalah mustahil.

''Kalau kita dapat kuasai bahasa kertas itu ditulis maka kita boleh akses ilmu kajian itu secara langsung. Kita nak lihat rakyat Malaysia yang berilmu, bukan sekadar boleh bercakap bahasa kebangsaan.

''Islam gesa umatnya menuntut ilmu dan orang Arab dahulu belajar bahasa Greek untuk mendapatkan ilmu daripada orang Greek dan begitu juga orang Eropah belajar bahasa Arab untuk dapatkan ilmu daripada orang Arab pada abad ke-15.

''Jadi kalau kita mahu kuasai ilmu yang ada pada orang lain maka kita kena belajar bahasa mereka. Kita mahu lihat rakyat Malaysia yang berilmu bukan setakat boleh berbahasa kebangsaan.

''Hari ini kita kena akui siapa belajar perubatan akan menggunakan buku teks dalam bahasa Inggeris, tiada buku teks dalam bahasa Melayu,'' ujarnya.

Justeru, Dr. Mahathir menegaskan, semua pihak di negara ini sama ada suka atau tidak, harus mengakui yang bahasa Inggeris adalah bahasa lingua franca dunia hari ini.

Kata beliau, ini dapat dilihat bagaimana kerajaan China sendiri mahukan 200 juta rakyatnya boleh menguasai bahasa Inggeris dan begitu juga Korea yang mahukan semua rakyatnya menguasai bahasa tersebut untuk berinteraksi dengan dunia luar.

''Saya sendiri belajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dari zaman persekolahan sehinggalah ke peringkat universiti tetapi saya masih boleh cakap bahasa Melayu.

''Saya sendiri masih anggap diri saya seorang nasionalis Melayu. Saya tidak pun jadi nasionalis Inggeris hanya kerana saya boleh bercakap bahasa Inggeris,'' ujarnya.

Ditanya mengenai mereka yang menentang dasar PPSMI itu, Dr. Mahathir berkata, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada golongan yang mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.

''Mereka yang menentang dasar ini sebenarnya juga adalah mereka yang mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.

''Mereka macam tak ingin melihat orang lain dapat apa yang kita dapat, itu tak baik,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 Mac 2009

Tiada ulasan: