Selasa, 10 Mac 2009

Tempatkan warden tetap di sekolah asrama penuh wajar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menempatkan warden tetap di semua sekolah berasrama penuh mendapat sokongan pihak berkaitan.

Rata-rata mereka menganggap ia langkah tepat yang perlu disegerakan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon berkata, ketika ini, tugas sebagai warden asrama dipikul oleh guru yang mempunyai tanggungjawab mengajar.

Sehubungan itu, katanya, pasti sukar bagi mereka untuk mengagih tumpuan menjalankan dua tugas dalam satu masa.

"Dengan wujudnya warden tetap di asrama, guru-guru akan dapat memberi tumpuan penuh pada pengajaran sementara warden pula memantau disiplin pelajar sepanjang masa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Kementerian Pelajaran untuk menempatkan warden tetap di semua sekolah berasrama penuh bagi memantapkan pengawasan ke atas pelajar.

Warden itu akan dilantik di kalangan pakar dalam bidang tertentu termasuk penjagaan disiplin, kaunseling dan psikologi.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jemale Paiman juga mengalu-alukan langkah itu.

Katanya, seorang warden tidak seharusnya terikat dengan komitmen lain kerana kejadian tidak diingini di kalangan pelajar membabitkan hal disiplin boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Apa jua boleh berlaku dalam masa 24 jam. Maka, seorang warden perlu memberi tumpuan seratus peratus kepada anak buahnya pada setiap masa.

"Mereka jua perlu diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang asrama selain tahu untuk menjaga keselamatan agar pelajar dapat menjalani kehidupan baik di asrama," katanya.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan pula berharap warden yang dilantik akan diberi latihan secukupnya.

"Mereka perlu diberi latihan dari segi kaunseling, psikologi dan bimbingan sebagai persediaan untuk membentuk disiplin pelajar.

"Pihak kementerian juga perlu memainkan peranan dengan mewujudkan laluan kerjaya jawatan itu bagi menarik lebih ramai individu bertugas sebagai warden," katanya.

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: