Khamis, 12 Mac 2009

94 calon di Negeri Sembilan dapat 5 prinsipal

SEREMBAN 10 Mac - Seramai 94 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 dari negeri ini berjaya memperoleh keputusan 5 prinsipal.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad berkata, lima calon pula berjaya memperoleh prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

"Mereka terdiri daripada empat calon jurusan sains dan seorang calon jurusan sastera," kata beliau kepada pemberita semasa mengumumkan keputusan STPM 2008 di sini hari ini.

Kata beliau, mereka yang cemerlang itu termasuk tiga dari Sekolah Menengah Saint Paul, Seremban iaitu Shalini Devi Parameswaran, Hu Yan Teng dan Paul Yugendra.

Tambahnya, dua lagi pelajar cemerlang ialah Leong Sim Siong dari Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah dan Lum Choi Yuen dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd. Said.

"Mereka mengambil empat mata pelajaran sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan Pengajian Am sebagai mata pelajaran wajib," katanya.

Abdullah berkata, 576 orang lagi lulus dengan 4P, 314 lulus 3P, 219 lulus 2P dan 147 lagi lulus 1P.

"Keseluruhan 1,350 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran prinsipal dengan peratusan 94.5 peratus dan merupakan penurunan 0.7 peratus berbanding pencapaian tahun 2007," jelas beliau.

Abdullah memberitahu, pada tahun lalu 1,553 calon telah menduduki peperiksaan STPM berbanding 1,869 orang pada tahun 2007 dengan menyaksikan penurunan 16.9 peratus.

"Daripada jumlah itu, 1,428 orang merupakan calon sekolah kerajaan, lapan orang sekolah swasta dan 117 merupakan calon persendirian," kata beliau.

Beliau memberitahu, beberapa mata pelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Kesusasteraan Melayu (naik 22.2 peratus), Seni Visual (15.3 peratus), Matematik Sains (6.4 peratus), Ekonomi (3.5 peratus), Bahasa Arab (1.3 peratus), Pengajian Am (1.2 peratus) dan Usuluddin (0.8 peratus).

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: