Khamis, 12 Mac 2009

Sabah & Sarawak: STU sokong semua sekolah tubuh kor kadet polis

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) semalam mengalu-alukan cadangan agar Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditubuhkan di setiap sekolah menengah diperluaskan fungsinya bagi menangani masalah disiplin pelajar yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Presidennya Wiliam Ghani Bina, berkata walaupun cadangan itu bukan sesuatu yang baru kepada kalangan guru namun semua pihak termasuk ibu bapa harus sedar mengapa peringatan ke arah itu perlu diulangkan lagi.

Beliau berkata, selain Kor Kadet Polis, beberapa kegiatan kokurikulum lain seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia, Persatuan Pengakap Malaysia memang bertujuan melahirkan pelajar berketerampilan dan berdisiplin tinggi.

"Cadangan agar fungsi Kor Kadet Polis yang ditubuhkan di setiap sekolah menengah diperluaskan bagi menangani masalah disiplin pelajar bukan cerita baru.

"Setakat ini ramai pemimpin di negara ini sudah melihat fungsi dan kaitan Kor Kadet Polis dengan disiplin pelajar cuma pihak pelaksana kegiatan tidak menjurus ke arah itu," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan itu oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed, kelmarin.

Berita Harian Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: