Selasa, 10 Mac 2009

‘Guna bahasa ibunda di sekolah rendah’

KOTA BHARU: Kerajaan disaran mencontohi sekolah aliran Cina yang menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah, sebelum bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar dua subjek itu pada peringkat menengah.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata ia wajar dipertimbangkan Kementerian Pelajaran sebagai jalan keluar terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan pelbagai pihak sehingga membawa kepada demonstrasi jalanan.

Katanya, murid sekolah rendah sewajarnya mendapat didikan awal dalam bahasa Melayu, termasuk bagi subjek Sains dan Matematik bagi memupuk jati diri, identiti dan budaya Melayu sejak dari peringkat awal.

"Saya yakin bahasa Melayu mesti digunakan dalam memupuk identiti dan budaya bangsa Melayu sekurang-kurangnya mulai Tahun Satu hingga Lima, iaitu sama seperti bahasa Mandarin diajar di sekolah Cina terutama dalam Sains dan Matematik.

"Pendidikan yang diterapkan di sekolah Cina adalah sebegitu, sebab itu budaya dan bahasa mereka mantap. Kita tidak boleh lagi melaksanakan dasar ini secara cuba-cuba, sekarang perlu mantapkan (bahasa Melayu) mengikut Akta Pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke kediaman Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Illias Hussin, Bachok, kelmarin. Hadir sama, Ketua Umno bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Rais berkata, sebagai parti terbesar orang Melayu, Umno perlu segera menangani isu PPSMI secara rasional termasuk berbincang dengan kesatuan guru dan cendekiawan Melayu bagi mencari penyelesaian terutama selepas isu terbabit mula meletus di jalanan.

"Sebaik-baiknya kita perlu berjumpa dengan golongan cendekiawan Melayu dan pejuang bahasa dan kita tak boleh nafi pandangan mereka kerana ini soal budaya dan identiti bangsa, bukan mudah untuk kita mengetepikan (pandangan) pihak terbabit.

"Perkara ini mesti difikirkan bersama oleh Umno kerana ia tertakluk dalam Perlembagaan iaitu perjuangan menerusi bahasa," katanya.

Beliau berkata, PPSMI juga menyebabkan bahasa kebangsaan tidak berkembang kerana penulis enggan menghasilkan buku rujukan dalam bahasa Melayu memandangkan pelajar kini terpaksa merujuk kepada bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

"Penulisan buku dalam bahasa Melayu mesti banyak, sekarang kalau kita tulis (dalam bahasa Melayu) orang tak beli kerana bahasa Inggeris jadi bahasa penghantar di sekolah, bahasa kita tak berkembang (kerana) ilmu kedoktoran dan sains tak ditulis dalam bahasa Melayu.

"Sebaliknya, buku Mandarin laku, jadi kena kembali kepada dasar yang mana Akta Pelajaran menetapkan bahasa Malaysia menjadi bahasa penghantar dalam pengajaran di sekolah, mungkin ini menyebabkan timbul masalah kepada beberapa pihak, tetapi boleh diselaraskan semula," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata Kementerian Pelajaran wajar mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan, sama ada meneruskannya dalam bahasa Inggeris atau ia dikembalikan dalam bahasa Melayu.

"Bagi saya, sebelum membuat keputusan mengenai PPSMI, kerajaan wajar memperkukuhkan pengajaran bahasa Inggeris di semua sekolah, bermula di tadika kerana saya lihat kanak-kanak yang menguasai bahasa Inggeris sejak tadika, cepat menguasai ilmu bila masuk sekolah rendah.

"Saya lihat, tadika swasta boleh ajar bahasa Inggeris dengan baik, tadika yang dikendalikan kerajaan pula tak ajar bahasa Inggeris, jadi bila masuk Tahun Satu, sukar nak kuasai bahasa Inggeris berbanding kanak-kanak dari tadika swasta,” katanya selepas majlis ramah mesra calon yang bertanding pada Perhimpunan Agung Umno dengan perwakilan Wanita Umno Kelantan, di sini, semalam..

Berita Harian Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: