Jumaat, 13 Mac 2009

Tempoh periksa kertas jawapan kekal tiga bulan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mengekalkan tempoh tiga bulan untuk memeriksa kertas jawapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah memendekkan tempoh memeriksa dikhuatiri menjejaskan kualiti pemarkahan.

"Pemarkahan kertas jawapan perlu mengikut piawaian dan kualiti yang ditetapkan dan jika kementerian mendesak guru pemeriksa menyegerakan kerja menanda kertas, yang akan menjadi mangsa adalah calon," katanya semalam.

Beliau berkata, guru pemeriksa jawapan juga sering membuat aduan tanggungjawab memeriksa kertas pada musim cuti akhir tahun menyebabkan mereka tidak dapat bercuti bersama keluarga.

"Sebahagian soalan SPM dan STPM adalah dalam bentuk subjektif. Jika kita mahu keputusan SPM dan STPM dikeluarkan segera, sistem peperiksaan perlu digubal semula dengan memperkenalkan soalan objektif dan jika berlaku, keputusan boleh diperoleh dalam tempoh dua minggu," katanya.

Difahamkan, guru pemeriksa SPM 2008 hanya diberikan tempoh dua minggu sepanjang Disember lalu untuk memeriksa lebih 100 kertas jawapan subjektif calon yang purata setebal tiga hingga tujuh muka surat, sebelum menyerahkannya kembali kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Alimuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah yang meminta Kementerian Pelajaran memberi penjelasan berhubung tempoh yang agak lama diambil setiap tahun sebelum mengumumkan keputusan SPM dan STPM.

Murugiah berkata, beliau akan menghantar surat secepat mungkin kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mendapatkan penjelasan.

Berita Harian Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: