Khamis, 16 April 2009

Godam: 'Ke mana kita dengan dasar PPSMI?'

Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my

SELEPAS 52 tahun merdeka dan menetapkan Malaysia muncul sebagai negara maju dalam tempoh 11 tahun dari sekarang menerusi Wawasan 2020, Malaysia masih dilanda dengan kemelut bahasa tidak berkesudahan serta cukup memalukan kerana ia membabitkan bahasa rasmi negara ini.

Aneh bin ajaib, kemelut sedemikian rupa masih melanda, dengan terkini dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seolah-olah akan tumbang bangsa Melayu lagi mengaibkan, jika langkah berpatah balik dijadikan pilihan!

Tidakkah pendekatan tanpa mencalar roh dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 152 (1) dan 152(6) serta Akta 550 Akta Pendidikan 1996, Akta 550 Seksyen 17 (1), wajar dan beradab kerana tidak mencemar maruah pemimpin terdahulu yang terbabit dalam mengatur dasar dan perjuangan memerdekakan negara daripada belenggu penjajahan?

Jika alasan kecekapan berbahasa Inggeris dan keupayaan menguasai ilmu sains dan teknologi mahu dipertahankan, tidakkah matlamat terbabit mampu digapai dengan merombak pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris di sekolah, bukannya Sains dan Matematik dijadikan mangsa!

Mengapa tidak sukatan Bahasa Inggeris diperbetulkan dengan memasukkan penulisan kreatif, pidato umum, kesusasteraan asas dan aktiviti dalam situasi, sebagai bahan pembelajaran dalam kelas dengan jumlah pelajar lebih kecil serta guru berkebolehan mahupun beriltizam dijadikan pilihan?

Tidakkah dengan cara ini, kita membuka peluang kepada semua pelajar tanpa mengira status ekonomi, bangsa mahupun lokasi kediaman, menguasai bahasa Inggeris lisan dan penulisan, tanpa menjejaskan peluang mereka mencatat pencapaian cemerlang dalam Sains atau Matematik.

Apakah kita sanggup membiarkan sebahagian besar pelajar kecundang atau mencatat pencapaian ala kadar dalam kedua-dua subjek berkenaan ekoran PPSMI yang secara langsung turut menjejaskan peluang mereka mendapat kursus bernilai ekonomi ketika memohon kemasukan ke universiti?

Apakah dapatan kajian Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) yang membabitkan 70 Sekolah Menengah (pelajar Tingkatan 4 Sains dan Sastera) dan 90 Sekolah Rendah (murid Darjah 5) di seluruh negara, menunjukkan PPSMI gagal mencapai matlamat, masih gagal membuka mata hati?

Mengapakah PPSMI yang secara tidak langsung menafikan wibawa bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tetap mahu dijadikan pilihan sekalipun dengan pendekatan yang akan menghuru-harakan sekolah dan pelajar ekoran pemilihan bahasa ditetapkan oleh sekolah?

Jika sekolah yang menentukan bahasa untuk Sains dan Matematik, pasti sekolah luar bandar akan memilih bahasa Melayu kerana ia dekat dengan jiwa mereka, manakala sekolah bandar dan elit memilih bahasa Inggeris, mengulangi situasi pada zaman penjajah.

Apakah tertutup akal budi dan hati untuk mengakui hakikat pendekatan ini secara tidak langsung melahirkan sistem kasta dalam pendidikan selain membiarkan situasi sedemikian menjadi kenyataan, suatu yang menyayat hati kerana ‘penghinaan’ dilakukan bangsa sendiri!

Relakah kita mengulangi peri laku British yang memperkosa sejarah Melayu sebagai bangsa berdaulat dan mengutamakan kelompok aristokrat serta meminggirkan kalangan marhaen demi menjayakan agenda melahirkan bangsa berdasarkan status ekonomi berpanjangan di negara ini?

Sanggupkah kita melihat sistem pendidikan negara tidak lagi berfungsi sebagai wahana yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia yang sepatutnya sudah lama terlaksana, jika bahasa tunggal digunakan sejak merdeka dulu!

Lihat saja berapa ramai cerdik pandai dalam bidang sains dan teknologi yang berjaya dilahirkan negara ini, tetapi akhirnya lebih rela menabur bakti di negara orang daripada membela negara serta bangsa sendiri kerana pulangan kewangan mengaburi akal budi dan pertimbangan!

Masihkah kita enggan menerima hakikat betapa pentingnya generasi muda dididik dengan bahasa Melayu kerana ‘roh’ budaya yang bersekali dengannya dan bakal mempengaruhi peri laku mereka mahupun pandangan jagat ketika menangani apa juga tuntutan peribadi, bangsa mahupun negara!

Mencanai rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada bahasa, bangsa mahupun negara tidak mungkin akan diperoleh melalui bahasa lain selain bahasa ibunda dan apakah kita sanggup mempertaruhkan segala-galanya ini, hanya kerana berasa kerdil dengan bahasa Inggeris!

Berita Harian Online; 16 April 2009

Tiada ulasan: