Khamis, 9 April 2009

Guru baling mercun ditahan

Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Seorang guru sekolah rendah antara tiga yang ditahan selepas terbabit dalam rusuhan di luar Stadium Sultan Mohamad IV di sini, selepas perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan, malam semalam.

Guru berusia 30-an itu ditahan serta-merta kerana kesalahan membaling mercun ke arah polis manakala dua lagi pelajar institusi pengajian tinggi di sini, dan pelajar sekolah menengah, masing-masing berusia 20 dan 15 tahun selepas melakukan kesalahan membaling botol air.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata, ketika ditahan, anggotanya turut menemui tujuh lagi mercun bola dalam poket guru berkenaan.

“Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 148, 435 dan 332 Kanun Keseksaan dan direman dua hari bermula hari ini (semalam).

“Dalam kejadian itu, dua anggota polis cedera akibat tindakan ganas penonton apabila dibaling batu yang terkena kiri bahu.

“Dua anggota berpangkat lans koperal dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan pemandu pacuan empat roda polis berpangkat konstabel sokongan cedera.

“Kami sudah melihat rakaman video sepanjang perlawanan sehingga insiden itu tamat dan mengenal pasti individu terbabit untuk membuat tangkapan segera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, penonton tuan rumah melakukan rusuhan apabila menterbalikkan pacuan empat roda polis dan membakarnya selepas tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan.

Akibat kejadian itu, sepuluh kenderaan dirosakkan penyokong terbabit termasuk kereta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Anuar Musa.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, sepanjang perlawanan itu tiada sebarang insiden berlaku dan keadaan disifatkan sebagai terkawal hingga tamat perlawanan.

“Namun, selepas penjaga gol Kelantan, Halim Napi menyerang seorang pemain Negeri Sembilan, ia membangkitkan semangat penonton dan kami cuba menyelamatkan keadaan. Semua pemain Negeri Sembilan diiringi untuk kembali ke hotel.

“Setakat ini, tiada laporan dibuat pemain Negeri Sembilan berhubung insiden itu, tetapi kami boleh mengambil tindakan terhadap Halim tanpa laporan daripada orang yang dicederakan. Sehingga kini, kami belum mengambil keterangan Halim,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis masih berbincang dengan Kafa untuk mengadakan perlawanan seterusnya dengan mengambil kira keselamatan yang tidak terjamin.

“Dua insiden berlaku berturut-turut dan ini mengganggu ketenteraman awam. Kami akan cadangkan kepada Kafa supaya perlawanan dialihkan luar dari negeri itu,” katanya.

myMetro: 9 April 2009

Tiada ulasan: