Rabu, 15 April 2009

'Wujud semula TV Pendidikan'

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Pengisian program perlu suntikan baru

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran didesak mewujudkan semula rancangan TV Pendidikan yang dihentikan sejak akhir tahun lalu dengan mewujudkan satu saluran televisyen khas untuk siarannya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan, berkata pemberhentian rancangan itu selepas kali terakhir ke udara melalui TV9, mencetuskan rungutan banyak pihak, terutama ibu bapa dan pelajar.

Walaupun berganti dengan EduWeb TV, masalah timbul berikutan sebilangan pelajar, terutama di luar bandar tidak memiliki kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekali gus menyukarkan mereka mengakses laman web berkenaan.

"Justeru, Kementerian Pelajaran diharap bekerjasama dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan mewujudkan saluran televisyen khusus untuk rancangan TV Pendidikan sepenuhnya.

"Dalam konteks ini, pengisian TV Pendidikan perlu disuntik nafas baru kerana rancangan sebelum ini agak hambar dan terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kurang menarik minat pelajar yang tidak berada dalam tahun peperiksaan.

"Rombakan semula mesti dilakukan supaya mutu, kesesuaian serta relevan. Sebuah panel khas bagi memantau keberkesanan program ini juga perlu ditubuhkan," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Mohamad Ali berkata, antara pembaharuan yang wajar disuntik ialah memperluas skop pendidikan meliputi aspek sukan, riadah, perpaduan, kekeluargaan, isu semasa, isu antarabangsa, pengajian tinggi dan pendidikan untuk golongan dewasa, termasuk konsep universiti terbuka.

Sementara itu seorang bapa, Mansor Abu Bakar, sependapat siaran rancangan TV Pendidikan tidak wajar dihentikan, lebih-lebih lagi bukan semua ibu bapa berkemampuan melanggani internet.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PIBG Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa (2), Klang, berkata kerajaan perlu mengembalikan semula TV Pendidikan dengan mewujudkan satu saluran televisyen khusus.

"Ini bermakna TV Pendidikan tidak lagi menumpang di mana-mana saluran televisyen lain dengan waktu siaran yang terhad. Dari segi menampung kos, saluran khas TV Pendidikan dipercayai akan mendapat sambutan pengeluar produk berkaitan kanak-kanak atau pelajar yang membeli waktu iklan," katanya.

Berita Harian Online: 15 April 2009

Tiada ulasan: