Isnin, 27 April 2009

PIBG, sekolah bersama atasi gejala negatif

KUALA PILAH 26 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disaran supaya berganding bahu dengan pihak pengurusan sekolah bagi menangani gejala tidak sihat di kalangan pelajar.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek, pembabitan pelajar sekolah di peringkat usia remaja dalam gejala sosial termasuk ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah, lepak dan buli amat membimbangkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, semua pihak tidak sewajarnya menuding jari antara satu sama lain berhubung penyelesaian isu itu.

''PIBG dan pihak pengurusan sekolah mempunyai peranan dan tanggungjawab bersama untuk menerapkan nilai murni serta jati diri kepada pelajar agar gejala negatif dapat dicegah dari peringkat awal," ujarnya.

Hasan berucap merasmikan Seminar PIBG peringkat daerah di Sekolah Menengah Teknik Juasseh dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Muhamad Ali Hasan; Pengarah Pelajaran Daerah, Mat Rohani Kamar dan Pengetua Sekolah Menengah Teknik Juasseh, Nor Asikin Md. Shazilli.

Sementara itu, beliau menambah, percambahan fikiran dalam membangunkan PIBG hendaklah digalakkan demi kecemerlangan pendidikan pelajar.

''Perbezaan pandangan dan ideologi tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk semua pihak memberi sumbangan positif kepada kemajuan PIBG.

''Sebaliknya perbezaan pandangan menjadikan kita bersikap lebih rasional dalam usaha mencapai satu matlamat bersama," jelasnya.

Menurut Hasan lagi, PIBG dan pihak pengurusan sekolah perlu meningkatkan usaha menggilap potensi pelajar selaku generasi pewaris kepimpinan negara masa hadapan.

Ujar beliau, langkah itu boleh membantu merealisasi hasrat kerajaan mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju menjelang 2020.

Utusan Malaysia Online: 27 April 2009

Tiada ulasan: