Isnin, 13 April 2009

Jabatan Pelajaran selesai isu ibu bapa enggan hantar anak ke sekolah

KOTA BELUD 12 April - Jabatan Pelajaran Sabah telah berjaya menyelesaikan masalah mogok ibu bapa yang tidak membenarkan anak ke sekolah melalui majlis permuafakatan yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, Jumaat lepas.

Penolong Pengarah Pelajaran Sabah, Bongsu Gaga berkata, ibu bapa telah memberi jaminan bahawa mereka akan menghantar semula anak ke sekolah mulai esok.

"Kita gembira isu ibu bapa mogok tidak hantar anak ke sekolah sudah selesai.

Kita berterima kasih kepada mereka yang memberi jaminan kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud bahawa kehadiran seratus peratus pada Isnin ini," katanya di sini hari ini.

Tindakan mogok itu berlaku apabila rayuan untuk mengekalkan guru besar, Sabli Nanti, yang tidak dipertimbangkan oleh Jabatan Pelajaran Sabah. Sabli, diarah bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud sebagai penyelia sekolah menengah.

Ekoran itu mereka melancarkan mogok tidak membenarkan anak-anak ke sekolah, sehinggalah pada satu masa kehadiran hanya dua orang sahaja daripada 136 orang murid-murid, bermula 2 Mac lepas.

Bongsu menjelaskan bahawa Sabli tidak layak lagi berkhidmat di sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) itu kerana beliau dinaikkan pangkat dari gred DGA32 ke DGA34.

Menurutnya, Sabli hanya layak berkhidmat sebagai guru besar di sekolah gred A dan B atau menjawat jawatan penyelia pelajaran daerah.

"Bagaimanapun Jabatan Pelajaran Sabah akan mempertimbang syarat PIBG agar Sabli dijadikan penasihat sekolah dan dibenarkan memantau untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud Abdul Bahkrin Mohd. Yusof menyambut baik kesediaan ibu bapa bekerjasama, sekali gus menyedari kepentingan ilmu pendidikan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sabli akan diberi peranan untuk membantu sekolah kebangsaan Pulau Mantanani meskipun tidak lagi bertugas di sekolah itu.

"Sesungguhnya mereka faham bahawa tiada yang boleh mengubah kemiskinan keluarga selain kecemerlangan anak-anak dalam mengecapi ilmu pendidikan," katanya. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 13 April 2009

Tiada ulasan: