Ahad, 12 April 2009

GMP mohon kemelut PPSMI diselesai

KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berharap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menyelesaikan isu segera berkenaan.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad, (gambar) berkata Muhyiddin dan timbalannya, Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum ini menunjukkan sikap prihatin terhadap isu berkenaan dan berharap pelantikan mereka membolehkan kedua-dua subjek itu diajar semula dalam bahasa Melayu.

Katanya, GMP menaruh harapan tinggi kepada kepimpinan baru Kementerian Pelajaran untuk menyelesaikannya segera dengan cuba memahami isu dan masalah berkenaan serta tidak hanya mengikut telunjuk kepemimpinan terdahulu yang gagal memahami aspirasi rakyat khususnya pelajar sekolah.

"Ini kerana ia isu mudah tetapi janganlah dibiarkan menjadi barah. Lagi pun ia tak membabitkan keputusan dalam Parlimen. Saya harap Muhyiddin faham dan tidak terikat dengan pandangan kolonial yang mendakwa bahasa Inggeris adalah bahasa yang paling banyak digunakan dalam pelbagai cabang ilmu.

"Kita perlu bebaskan pemikiran daripada pandangan seperti itu. Baliklah kepada dasar asal yang dilaksanakan sebelum 2003 iaitu pembelajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.

Berita Harian Online: 12 April 2009

Tiada ulasan: