Selasa, 21 April 2009

Usaha Rapatkan Jurang Pendidikan Di Bandar Dan Desa

SANDAKAN, 21 April (Bernama) -- Kerajaan akan memberi perhatian untuk mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar bagi memastikan rakyat di negara ini menerima tahap pendidikan yang sama.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usaha itu juga selaras dengan konsep "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan" yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Meningkatkan kualiti tahap pendidikan merupakan fokus utama kerajaan dengan memastikan rakyat menerima prasarana pendidikan lengkap.

"Untuk mencapai hasrat itu jurang yang ada harus dirapatkan dan ianya tidak akan menjadi kenyataan jika prasarana sekolah di luar bandar mundur berbanding sekolah di bandar," katanya pada Majlis Bersama Warga Pendidikan Daerah Sandakan di sini malam tadi.

Majlis itu bersempena lawatan kerja beliau selama tiga hari bermula semalam bagi meninjau sekolah-sekolah di luar bandar di daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.

BERNAMA.COM: 21 April 2009

Tiada ulasan: