Jumaat, 10 April 2009

Guru terbabit kekecohan bola sepak boleh dibuang kerja

KOTA BHARU: Guru sebuah sekolah rendah di bandar ini yang ditahan kerana membaling mercun ke arah polis dalam perlawanan separuh akhir Piala FA antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di sini, malam Selasa lalu, boleh dikenakan tindakan buang kerja jika didapati bersalah.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana guru yang didapati terbabit dengan salah laku jenayah yang melanggar peraturan serta peruntukan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

"Setakat ini, kita belum menerima laporan daripada polis berhubung penahanan guru terbabit dan jabatan akan terus menghantar laporan kepada Kementerian Pelajaran berhubung perkara itu sebaik laporan diterima.

"Dalam kes membabitkan jenayah, seseorang guru boleh dibuang kerja kerana ini berkait dengan soal integriti yang menjejaskan nama baik sekolah, jabatan dan kementerian. Kita tidak akan bertolak ansur dalam kes seperti ini," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kekecohan penonton di Stadium Sultan Muhammed IV itu, polis turut merampas tujuh mercun bola daripada guru berusia 30-an terbabit, selain pelajar Tingkatan Tiga sekolah menengah di bandar ini serta pelajar Politeknik turut ditahan kerana membaling botol minuman ke arah polis.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 148, 425 dan 332 Kanun Keseksaan.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata guru terbabit akan berdepan tindakan tatatertib sama ada diturun pangkat, potong gaji atau dibuang kerja.

“Kementerian sangat kecewa dengan tindakan guru berkenaan jika benar dia guru yang berkhidmat di bawah kendalian kami kerana tindakannya itu (merusuh) mengundang implikasi buruk kepada generasi muda.

“Oleh itu, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib paling berat terhadap guru berkenaan jika terbukti bersalah, seterusnya menjadi perosak imej perguruan negara yang selama ini dihormati,” katanya.

Berita Harian Online: 10 April 2009

Tiada ulasan: