Sabtu, 18 April 2009

Pelajar dakwa kena belasah

KEPALA BATAS: Seorang pelajar mendakwa dibelasah sekumpulan pelajar sekolah agama kerana gagal mendapatkan semula telefon bimbit salah seorang daripada pelajar yang dirampas oleh guru di Bukit Mertajam, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Muhammad I'rfan Taufiq, 15, mendakwa ditumbuk, ditendang dan dibaling dengan baldi serta kasut oleh sekumpulan 13 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima di asrama sekolah agama itu.

Berikutan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas dan menjalani pemeriksaan di Hospital Kepala Batas.

Sebelum ini, mangsa adalah pelajar sekolah agama tetapi bertukar ke sekolah lain sejak Februari lalu.

Muhammad I'rfan berjumpa dengan ustaz sekolah itu untuk menuntut semula telefon rakannya tetapi gagal. Ustaz itu memaklumkan hanya waris boleh menuntut telefon berkenaan.

Apabila mangsa memaklumkan dia gagal mendapatkan semula telefon itu, dia dibawa ke tingkat atas asrama sekolah agama berkenaan dengan 13 pelajar lain sedang menunggu.

"Seorang daripada mereka memegang baju sambil mendakwa tidak puas hati dengan saya sebelum tujuh daripada mereka memukul kepala, badan dan belakang.

"Saya cuba melindungi muka dengan tangan tetapi mereka memukul belakang saya dengan tapak kasut hingga masih ada kesan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, bapanya, Taufiq Musaddad Ahmad, 43, membuat laporan polis hari sama sebelum membawa Muhammad I'rfan ke Hospital Kepala Batas.

Berita Harian Online: 18 April 2009

Tiada ulasan: