Jumaat, 24 April 2009

Johor: Pelajar mesti tingkat disiplin, elak perangkap dadah

Oleh Shahrizan Wahib
bhnews@bharian.com.my

JOHOR BAHRU: Pelajar sekolah diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling supaya tidak terjerumus dalam penyalahgunaan dadah yang akan merugikan mereka.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, Aminuddin Adam, berkata pelajar sekolah adalah bakal pemimpin yang akan meneraju negara satu hari nanti dan mereka seharusnya dididik supaya menjadi modal insan yang lebih berkualiti dari segi mental dan kemahiran.

"Pelajar adalah aset terpenting kepada negara dan pihak sekolah diharap dapat membantu membentuk disiplin serta sahsiah diri pelajar.

"Pelajar juga seharusnya aktif dalam meningkatkan kemahiran sosial mereka supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila mereka keluar zaman persekolahan," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat PPD Johor Bahru, di SMK Modh Khalid, di sini, kelmarin.

Selain itu, Aminuddin berkata, pelajar yang aktif dalam kokurikulum dan cemerlang dalam kurikulum juga akan menjadi pelajar yang produktif dan serba boleh.

"Matlamat Kementerian Pelajaran yang ingin melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi pendidikan dan kecergasan mental akan tercapai jika pelajar dapat memenuhi masa mereka dengan kegiatan yang sihat.

"Oleh itu, pelajar diharap sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan apabila mereka menempuh alam pekerjaan nanti," katanya.

Mengulas mengenai karnival itu, beliau berkata, acara itu boleh mendorong pelajar ke arah perkembangan yang lebih positif.

Katanya, penyertaan sembilan sekolah dalam karnival itu diharap dapat menyedarkan pelajar terbabit serta masyarakat amnya mengenai bahaya dadah.

Berita Harian Online: 24 April 2009

Tiada ulasan: