Ahad, 26 April 2009

Usah merokok depan pelajar

CHERAS: Guru yang merokok dinasihatkan tidak berbuat demikian depan pelajar kerana tabiat itu boleh menjadi ikutan.

Kajian Kementerian Kesihatan pada 2005 mendapati, kira-kira 42 peratus pelajar yang merokok mengaku terpengaruh oleh tindakan guru mereka, manakala 16 peratus lagi kerana pengaruh ibu bapa.

Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata statistik itu menunjukkan guru lebih berpengaruh daripada ibu bapa.

Menurutnya, mungkin kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah dan lebih rapat dengan guru hingga segala perbuatan, termasuk tabiat tidak baik, menjadi ikutan selepas terpengaruh.

Katanya, pelajar mungkin menganggap tingkah laku guru mereka wajar dicontohi walaupun sebenarnya tabiat itu tidak baik dan boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri.

“Ini dapat kita lihat mengenai peningkatan jumlah pesakit kanser, kini pada usia 20-an dan 30-an sudah menghidapnya,” katanya.

myMetro: 26 April 2009

Tiada ulasan: