Khamis, 23 April 2009

Polis buru penyebar SMS hasutan di Pontian

JOHOR BAHRU 22 April - Polis sedang memburu individu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur hasutan dan perkauman mengenai kes seorang guru sekolah menengah dipukul di Pontian, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah negeri memberi keutamaan mengenal pasti penyebar SMS tersebut.

''Kes di Pontian itu hanya kes kecil, namun penyebar SMS itu memperbesar-besarkan cerita seolah-olah berlaku rusuhan di Balai Polis Pekan Nanas.

''Kita mempunyai kemampuan untuk mengesan penyebar SMS dan kes akan disiasat mengikut Akta Hasutan,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kelmarin, Balai Polis Pekan Nanas di Pontian kecoh apabila orang ramai berkumpul di pekarangan balai kerana tidak berpuas hati dengan satu kejadian pukul melibatkan seorang guru di sebuah sekolah menengah.

Kejadian itu dipercayai rentetan daripada satu kes pukul berasingan melibatkan pelajar sekolah tersebut pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, seorang pelajar berusia 13 tahun dikatakan berselisih faham dengan sekumpulan pelajar ketika mahu menaiki tangga.

Pelajar itu dipercayai ditampar oleh salah seorang daripada kumpulan pelajar yang berusia 17 tahun kerana terlanggar bahunya.

Kejadian itu berlarutan apabila bapa pelajar berkenaan bersama tiga rakannya menyerbu masuk kawasan sekolah untuk mencari pelajar yang memukul anaknya.

Seorang guru mendakwa dipukul kerana menghalang tindakan tersebut sebelum bapa pelajar itu dan rakannya beredar meninggalkan sekolah.

Bapa pelajar yang didakwa memukul guru itu ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar menyangkal dakwaan SMS itu kononnya 1,000 orang merusuh di Balai Polis Pekan Nanas dan kereta peronda polis ditahan orang ramai sehingga terpaksa diadakan perintah berkurung, kelmarin.

''Kereta peronda polis tidak ditahan oleh orang ramai, sebenarnya ada orang yang membaling objek ke arah kenderaan itu.

''Kita telah mengenal pasti suspek yang membaling objek itu dan tindakan susulan akan diambil,'' katanya.

Menurut Mohd. Mokhtar, pihaknya dalam proses menyiapkan kertas siasatan mengenai kes di Pontian itu untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau juga telah berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri, pengetua sekolah terbabit dan Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang.

Utusan Malaysia Online: 23 April 2009

Tiada ulasan: