Isnin, 20 April 2009

NUTP, PIBGN cadang PMR dimansuh, UPSR dirombak

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dirombak dalam usaha transformasi sistem pendidikan yang bergantung kepada peperiksaan.

Bagaimanapun, mereka mahu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus dikekalkan sebagai pengukur kepada kecerdasan akademik dan kefahaman pelajar pada peringkat menengah.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata SPM sudah memadai untuk dijadikan peperiksaan awam pada peringkat menengah dan mencadangkan PMR hanya digantikan dengan penilaian peringkat sekolah.

“Kita tidak melihat keperluan PMR sebenarnya tetapi pelajar terpaksa menanggung beban untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan ini. Lebih baik sebenarnya, pelajar menengah diuji dalam SPM saja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mementingkan peperiksaan menyebabkan pelajar tidak kreatif dan bergantung semata-mata kepada guru sekali gus menimbulkan masalah apabila mereka memasuki universiti.

“Akibat terlalu mementingkan peperiksaan ini, tidak ramai melahirkan individu berbakat dalam bidang lain seperti sukan,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata Kementerian Pelajaran sedang mengkaji keperluan diadakan tiga peperiksaan awam iaitu UPSR, PMR dan SPM.

Sementara itu, Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan, berkata terlalu banyak peperiksaan awam bukan saja membebankan guru dan pelajar, malah ibu bapa.

Walaupun bersetuju PMR dimansuhkan, beliau berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan terhadap sebarang perubahan dalam sistem pendidikan supaya ia tidak mendatangkan kesan negatif kepada pelajar.

“PIBGN menganggap keperluan PMR tidak begitu penting dibandingkan dengan SPM. Elok sekiranya peperiksaan ini dijadikan penilaian di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata, selain akademik, kreativiti dan inovatif juga perlu diutamakan di peringkat sekolah menengah supaya negara mampu melahirkan pelajar yang cemerlang.

“Pelajar menengah juga perlu diberikan perspektif global dengan pemikiran yang berdaya saing supaya pelajar kita tidak dianggap sebagai pelajar cemerlang peperiksaan,” katanya.

Berita Harian Online: 20 April 2009

Tiada ulasan: