Rabu, 8 April 2009

Timbalan Menteri berang - Keluarga mangsa buli pula kecewa sekolah lambat beritahu


MOHD. HAFIZ menunjukkan kesan lebam didakwa akibat dibuli
menggunakan raket tenis di rumahnya di Kampung Chenua, Raub semalam.



KERATAN Kosmo! semalam.


RAUB - Kami terkilan!
Itu luahan keluarga Mohd. Hafiz Suhermi, 13, yang kecewa kerana pihak sekolah lewat memaklumkan anak mereka salah seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong yang didakwa dibuli pelajar senior 29 Mac lalu.

"Sebagai ibu bapa, kami terkilan kerana lewat diberitahu oleh pihak sekolah mengenai kejadian buli menimpa Hafiz," kata Faridah Daud, 42, di sini semalam.

Tambah Faridah, apa yang lebih melukakan hatinya apabila dia dan suami dinasihatkan oleh pihak sekolah supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Saya dan suami datang ke sekolah itu pada hari Khamis lalu pun kerana Hafiz jemput kami datang ke majlis perjumpaan yang diadakan. Apabila sampai, barulah kami tahu bahawa dia telah dibuli oleh pelajar senior.

"Tanpa teragak-agak, saya mengambil keputusan membawanya ke Hospital Raub untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub," ceritanya.

Setelah laporan dibuat, Faridah memberitahu, anak sulungnya itu sekali lagi dibawa oleh polis ke Hospital Raub untuk pemeriksaan sebelum disahkan mengalami kecederaan koyak tisu leher.

Mohd. Hafiz mendakwa pada hari kejadian, dia dipukul dengan raket tenis oleh pelajar senior terbabit. Kesannya, Mohd. Hafiz dilaporkan mengalami koyak tisu leher selain cedera di tangan, pinggang dan kaki.

Sementara itu, bapa mangsa, Suhermi Abu Bakar, 39, memberitahu, dia tidak akan melayan permintaan sesetengah keluarga suspek yang memintanya untuk menarik balik laporan dibuat.

Dalam pada itu, Suhermi turut melahirkan kebimbangan kerana anaknya kini seakan-akan dipulaukan di sekolah tersebut selepas insiden berkenaan.

Semalam, akhbar melaporkan, gara-gara enggan mengikut arahan pelajar senior supaya membasuh baju, tiga pelajar junior di SMK Dong telah dibuli dengan ganas.

Berikutan itu, polis bertindak menahan sembilan pelajar berumur dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun tersebut kerana dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sekolah berkenaan sekiranya terbukti cuai dalam mengawal pelajarnya sehingga tercetusnya gejala buli.

Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong yang berang sebaik dimaklumkan mengarahkan Pengarah Pelajaran Pahang menghantar laporan segera mengenai kejadian itu kepadanya.

"Saya sudah tidak tahan mendengar laporan-laporan sebegini, semakin melampau dan menjadi-jadi.

"Jika laporan yang bakal sampai ke tangan saya kelak mendapati pihak sekolah sama ada pengetua, warden atau guru cuai dalam mengawal pelajarnya, kementerian akan kenakan tindakan kepada mereka," tegasnya ketika dihubungi semalam.

Kosmo Online: 8 April 2009

Tiada ulasan: