Rabu, 15 April 2009

Johor: Sekolah pedalaman tak tercicir nikmat kemajuan

Oleh Sahlina Sahkirin
bhnews@bharian.com.my

SKP dapat dua penjana bekal elektrik untuk kelas malam

MERSING: Meskipun terletak jauh di pedalaman, Sekolah Kebangsaan Peta (SKP) di Ulu Sungai Endau, dekat sini tidak pernah tercicir daripada menikmati pembangunan fizikal, sekali gus mewujudkan keselesaan buat warganya sama seperti sekolah di tempat lain.

Bukan saja persekitaran sekolah yang ceria, suasana pengajaran dan pembelajaran juga selesa yang nyata memberi manfaat dalam meningkatkan minat pelajar Orang Asli sehingga mencatatkan kehadiran antara 90 dan 95 peratus setiap bulan.


Hasilnya, SKP berjaya memenangi Anugerah Sekolah Harapan Negara peringkat negeri tahun lalu apabila mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Lebih menggembirakan, Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) baru-baru ini turut

membekalkan dua penjana besar untuk membekalkan elektrik kepada kelas tambahan waktu malam dan kelas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekolah berkenaan.

Projek menelan belanja ratusan ribu ringgit itu akhirnya menjadi kenyataan meskipun terpaksa ditangguhkan tahun lalu berikutan kerja pembinaan jambatan merentangi Sungai Emas di kampung berkenaan.

Lengkap dengan pembinaan bangunan untuk menempatkan penjana itu, kemudahan yang dibekalkan juga dapat menerangi empat unit kuarters guru di kawasan sekolah terbabit.

Majlis penyerahan penjana itu dilakukan Ketua Unit Pembangunan JPNJ, Mohd Bahrin Abd Rahman bersama Penyelia Pembangunan Pejabat Pelajaran Daerah, Ishak Mamuda kepada Guru Besar SKP, Nazari Zainuddin.

Mohd Bahrin berkata, kemudahan itu membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dalam persekitaran lebih baik, termasuk mengadakan kelas tambahan waktu malam manakala makmal sains dan ICT dapat digunakan sepenuh masa.

"JPNJ tidak pernah mengabaikan pembangunan sekolah ini. Pelbagai projek pembangunan dan prasana dilaksanakan, sekali gus membolehkan anak Orang Asli mendapat kemudahan pembelajaran secukupnya," katanya.

Katanya, antara projek pembangunan sudah dilaksanakan di sekolah berkenaan ialah membaikpulih pagar yang rosak akibat banjir tahun lalu.

Beliau berharap guru serta murid SKP dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin kerana sekolah berkenaan kini dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan.

Nazari pula berkata, kerjasama ibu bapa dan guru membolehkan SKP mencatatkan rekod cemerlang dengan kehadiran terbaik antara sekolah di perkampungan Orang Asli di negara ini.

Katanya, meskipun sekolah itu hanya mempunyai 37 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam, kehadiran murid mencapai tahap 90 hingga 95 peratus setiap bulan.

"Murid semakin menunjukkan minat hadir ke sekolah setiap hari. Keadaan fizikal serta keceriaan sekolah menjadi faktor utama menarik minat mereka ke sekolah," katanya.

Berita Harian Online: 15 April 2009

Tiada ulasan: