Jumaat, 17 April 2009

70 murid cirit, muntah makan di kantin sekolah

Oleh Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my

KUANTAN: Seramai 70 murid Sekolah Kebangsaan Jaya Gading, di sini mengalami cirit-birit, muntah dan pening dipercayai keracunan makanan ketika waktu rehat di sekolah itu, semalam.

Daripada jumlah itu yang membabitkan murid Tahun Satu hingga Enam sekolah berkenaan, empat murid terpaksa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Jaya Gading, di sini untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami lemah disebabkan cirit-birit dan muntah.

Bagaimanapun, keracunan itu hanya disedari pengurusan sekolah apabila murid terbabit mengadu sakit perut dan muntah selepas makan dan minum di kantin sekolah itu pada jam 10 pagi.

Murid Tahun Lima, Faiz Zulkarnain ketika ditemui, berkata dia mula pening, muntah dan sakit perut sejam selepas makan mi goreng dan minum ketika rehat pada jam 10.30 pagi.

"Kesakitan yang dialami tidak serius seperti murid lain dan hanya menjalani pemeriksaan di sekolah serta diberikan ubat sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Ibu kepada pelajar Tahun Empat, Samiah Karim, 38, berkata beliau hanya mengetahui anak lelakinya keracunan makanan mengambilnya pulang pada jam 12.30 tengahari.

"Saya bersyukur dia tidak serius selepas makan di kantin," katanya.

Sementara itu, jurucakap sekolah berkata, kejadian keracunan yang berlakunya tidak serius kerana kebanyakan murid tidak dirawat di hospital, sebaliknya hanya menjalani pemeriksaan kesihatan di sekolah.

"Cuma empat murid mendapatkan rawatan di pusat kesihatan sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Kesihatan daerah berkata, pengusaha kantin terbabit diarah menghentikan perniagaan sementara siasatan dilakukan.

Berita Harian Online: 17 April 2009

Tiada ulasan: