Rabu, 22 April 2009

PPD Jitra anjur Klinik UPSR Didik bantu murid cemerlang peperiksaan

Oleh Norliza Abdullah


MARZUKHI (dua dari kanan) bersama Omar (kiri) sambil diperhatikan Azmir meneliti modul yang digunakan peserta Klinik UPSR di ILP Jitra, baru-baru ini.

PEJABAT Pelajaran Daerah (PPD) Jitra, meneruskan komitmennya dalam memastikan prestasi murid di daerah itu terus meningkat dengan menyediakan program tambahan menerusi penganjuran Klinik UPSR.

Penolong PPD, Marzukhi Jamaludin, berkata klinik dengan kerjasama akhbar Didik terbitan Berita Harian itu bagi memastikan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daerah itu mendapat pendedahan awal mengenai strategi pembelajaran berkesan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan September depan.

Beliau berkata, bagi menjayakan program berkenaan, pihaknya mendapat kerjasama guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra yang diketuai Guru Bimbingan Kaunseling sekolah berkenaan, Royahati Udin.

Marzukhi berkata, pihaknya mengharapkan bimbingan seperti ini memberi peluang calon mendapat pengetahuan tambahan serta maklumat terperinci, selain teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan.

“Murid perlu bersedia lebih awal dengan membuat banyak latihan bagi membiasakan mereka dengan soalan peperiksaan. Pembelajaran berterusan membantu meningkatkan keyakinan menjawab soalan.

“Kesungguhan adalah kunci utama kejayaan dan ia menuntut kepada disiplin di kalangan murid untuk terus maju,” katanya berucap pada majlis penutup program berkenaan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Jitra, Kedah, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Hadir sama Pengarah ILP, Azmir Mohd Yunus; Penolong Kanan 1, SMK Pulai Nyior, Omar Bahrom dan Penolong Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Sopiah Ibrahim.

Pada program itu pelajar dibimbing guru berpengalaman membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Berita Harian Online: 22 April 2009

Tiada ulasan: