Jumaat, 24 April 2009

Muhyiddin lawat sekolah uzur dan mendap


MUHYIDDIN Yassin melambai kepada pelajar-pelajar yang menunggu beliau ketika mengadakan lawatan singkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Danau Kota, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 April - Dua buah sekolah yang uzur dan berdepan masalah mendapan tanah menjadi institusi pendidikan pertama yang dipilih Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan lawatan kerjanya.

Kunjungan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini berlangsung dalam suasana santai tanpa sambutan besar-besaran walaupun beliau merupakan pemimpin nombor dua negara.

Selain meninjau masalah sekolah berkenaan, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pelajar sekolah dan guru-guru yang kelihatan begitu gembira menerima tetamu istimewa itu.

Mengenai lawatannya ke SJK Tamil Ladang Bukit Jalil, Muhyiddin menyatakan perasaannya amat tersentuh melihat kira-kira 90 pelajar berketurunan India menuntut ilmu dalam keadaan tidak sempurna.

Sehubungan itu, katanya, kementerian memutuskan untuk membina bangunan baru di kawasan berdekatan dengan kos RM2 juta.

Katanya, kerja-kerja pembinaan menggantikan sekolah berusia 70 tahun itu akan dimulakan apabila urusan berkaitan kontrak diselesaikan dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu pada akhir 2010.

"Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan tender tetapi saya minta ia diubahsuai untuk menambah beberapa bilik lain supaya pelajar yang akan meningkat kepada 200 orang pada 2011 menikmati kemudahan yang lebih baik.

"Saya lihat memang banyak kekurangan, kita sentiasa mengambil inisiatif dan perhatian kepada sekolah yang belum lengkap walaupun ia adalah SJK, selepas berpindah ke tanah milik kerajaan kita akan berikannya bantuan penuh," katanya pada sidang akhbar di SMK Setapak Indah di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, masalah keretakan akibat mendapan di SMK Setapak Indah yang didirikan di atas tanah bekas lombong akan diselesaikan segera.

Muhyiddin turut memberi jaminan sekolah berkenaan selamat digunakan berdasarkan laporan JKR bahawa masalah itu tidak menjejaskan struktur bangunan.

"Kerja penambahbaikan di kawasan mendap akan dilaksanakan JKR, ia akan dimulakan serta merta kerana kementerian menyediakan peruntukan yang mencukupi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menyifatkan lawatan kerja ke dua buah sekolah itu sebagai amat berhasil kerana beliau berpeluang mendengar sendiri laporan daripada guru besar selain dapat meninjau hal ehwal pelajar dan kemudahan yang ada.

Katanya, melalui tinjauan yang lebih dekat beliau dapat memahami dengan jelas isu dan masalah bidang pendidikan di negara ini.

Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

Tiada ulasan: