Jumaat, 10 April 2009

Timur: KGGMB syor kokurikulum dikaji semula

JERANTUT: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) menyarankan kokurikulum sekolah diteliti semula dan dimantapkan supaya lebih bersistematik serta mempunyai garis panduan sejajar Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Presidennya, Mohd Sabri Mohd Arsad, berkata Kementerian Pelajaran perlu mengkaji semula struktur kokurikulum dengan menyediakan garis panduan atau modul jelas untuk dijadikan satu rangka diguna pakai di seluruh negara.

“Satu sistem penilaian seharusnya diwujudkan bagi menentukan hala tuju sebenar kegiatan kokurikulum dan memberi manfaat kepada pelajar dalam pembangunan sahsiah mereka,” katanya.

Mohd Sabri berkata, kegiatan kokurikulum di luar jadual waktu rasmi sedikit sebanyak merencatkan perjalanan aktiviti itu kerana ada sekolah tidak memberi kemudahan untuk pelajar hadir kembali pada waktu petang mengikuti kegiatan itu.

“Kehadiran yang tidak memuaskan turut mengganggu perjalanan kokurikulum selain tiada panduan khusus serta kepakaran,” katanya sambil mencadangkan aktiviti kokurikulum dimasukkan dalam jadual waktu rasmi persekolahan.

Beliau juga menyarankan kementerian menyediakan kepakaran untuk meningkatkan mutu aktiviti itu terutama unit beruniform seperti yang dilaksanakan kadet polis, bomba dan tentera yang banyak dibantu kepakaran luar sehingga ahlinya mantap dan berdisiplin.

“Perkara sama perlu dilakukan kepada Pengakap, Pandu Puteri, Puteri Islam dan Persatuan Bulan Sabit Merah serta beberapa persatuan lain bagi membolehkan pelajar benar-benar aktif," katanya.

Mohd Sabri berkata, kementerian juga harus meneliti peruntukan tambahan membabitkan pembiayaan elaun jurulatih luar yang dijemput serta jurulatih di kalangan guru yang memiliki kepakaran dalam bidang tertentu.

Berita Harian Online: 10 April 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sertai program terbaru khusus buat blogger, berjudul: "Who Wants To Be A MillionaireBlogger.Net"