Selasa, 28 April 2009

Nyaris maut dalam lubang kumbahan


HARRIS Sufian Mohd. Zaini ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Kedah, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 27 April - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menempuh pengalaman menakutkan apabila terjatuh ke dalam lubang tangki kumbahan di sekolahnya di Jitra, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mangsa, Harris Sufian Mohd. Zaini, pelajar tahun satu di sekolah tersebut hampir lemas dalam lubang yang dipenuhi sisa kumbahan sedalam kira-kira satu meter.

Kanak-kanak itu bagaimanapun sempat berpaut pada bahagian tepi lubang tangki tersebut sebelum merangkak keluar dari 'perangkap maut' yang terletak di belakang kantin sekolah terbabit.

Menurut bapa mangsa, Mohd. Zaini Mohd. Yunus, 34, anak bongsunya daripada dua beradik itu terjatuh kerana dipercayai tidak menyedari kewujudan lubang berkenaan.

Katanya, ketika itu, dia dikatakan sedang mencari tong sampah untuk membuang sisa makanan pada waktu rehat.

''Nasib baik tiada kejadian buruk berlaku kepada Harris semasa terjatuh seperti terhantuk kepala yang mungkin boleh membuatkannya lemas di dalam lubang itu.

''Kami sekeluarga amat bersyukur kerana dia selamat dan tiada kecederaan serius,'' katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Kedah (KMC), di sini hari ini.

Mohd. Zaini berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Harris selepas diberitahu oleh anak sulungnya, Arrisa Sufia yang juga merupakan pelajar tahun tiga di sekolah sama sebelum dihubungi guru anaknya.

Katanya, ketika meninjau lokasi kejadian sejurus selepas tiba di sekolah itu semalam, dia mendapati terdapat empat lubang yang tidak ditutup pada tangki kumbahan berkenaan.

''Saya difahamkan keempat-empat penutup besi lubang itu telah hilang kerana dicuri, tetapi kenapa tiada tindakan segera diambil bagi menutup lubang tersebut?

''Saya dedahkan perkara ini kerana tidak mahu ia berulang dan peringatan kepada semua pihak supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan pelajar,'' katanya yang telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jitra di sini hari ini.

Menurut peniaga itu, dia membawa Harris ke KMC untuk pemeriksaan kira-kira pukul 3 petang semalam dan laporan awal doktor mendapati paru-paru anaknya dijangkiti kuman dipercayai akibat tertelan air kumbahan.

Justeru, dia meminta pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri memberi penjelasan bertulis mengenai kejadian menimpa anaknya itu selain membiayai kos perubatan Harris yang kini ditahan di KMC.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan rapi termasuk kejadian yang menimpa Harris.

Katanya, beliau juga mengarahkan pegawainya ke sekolah tersebut selain menemui waris mangsa berhubung kejadian itu.

Utusan Malaysia Online: 28 April 2009

Tiada ulasan: