Jumaat, 24 April 2009

Kisah Cikgu Apai, cikgu Sejarah saya

PADA hari Isnin, 20 April lalu semasa saya menghantar kereta di sebuah pusat servis di Mutiara Damansara, secara kebetulan saya bertemu dengan seorang guru perempuan semasa saya di sekolah menengah dulu.

Dalam pertemuan singkat itu saya sempat bertanya khabar mengenai guru-guru lama yang masih saya ingati.

Apa yang menarik perhatian saya ialah mengenai seorang guru yang mengajar saya subjek Sejarah semasa di tingkatan 3 iaitu Cikgu Saparuddin (atau lebih dikenali sebagai Cikgu Apai).

Saya dimaklumkan beliau telah ditukarkan ke sebuah sekolah rendah atas sebab-sebab yang mungkin telah ditetapkan oleh pihak kementerian dalam penyusunan semua guru-guru.

Mengimbas kembali mengenai Cikgu Apai semasa saya bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, beliau merupakan seorang guru disiplin yang tegas dan mengajar subjek Sejarah untuk tingkatan 3.

Apa yang saya ingin sampaikan ialah mengenai cara beliau mengajar mata pelajaran itu dengan begitu berkesan. Subjek Sejarah mungkin agak membosankan bagi sesetengah pelajar kerana begitu banyak tarikh dan peristiwa yang perlu diingati.

Namun Cikgu Apai mengajar subjek tersebut dengan penuh bersemangat dan berkobar-kobar dan cara penyampaiannya membuatkan kita seolah-olah sedang berada pada zaman sejarah tersebut.

Sekiranya silibus sekarang masih sama seperti dulu, pembelajaran sejarah pada tingkatan 3 merangkumi hal-hal berkaitan pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan soal kebangkitan nasionalisme di tanah air serta mengenai penubuhan Malayan Union. Ini merupakan sejarah negara yang amat penting untuk semua rakyat Malaysia memahaminya dengan betul.

Cikgu Apai telah memainkan peranan dengan memberikan penerangan serba lengkap mengenai fakta-fakta sejarah yang terkandung dalam buku teks sehinggakan pada waktu itu saya mampu untuk memahami dan menghafal keseluruhan isi kandungan buku teks tersebut di samping menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek pilihan.

Keberkesanannya mengajar memang diakui bukan sahaja oleh pelajar-pelajar malah turut diakui di kalangan guru-guru lain.

Hari ini selepas mendapat tahu Cikgu Apai telah ditukarkan ke sekolah rendah, saya rasa terkilan kerana memikirkan bertapa ruginya pelajar-pelajar di sekolah menengah yang tidak lagi diajar oleh seorang cikgu seperti Cikgu Apai.

Semoga mereka mendapat guru sebaik Cikgu Apai yang dapat mengajar dengan penuh semangat mengenai sejarah negara.

Adalah menjadi kerugian dalam institusi pendidikan apabila guru yang begitu berkebolehan dalam subjek Sejarah diletakkan di sekolah rendah yang tidak mengajar subjek itu.

ARES SALIM (SMBG91)

Kota Damansara

Utusan Malaysia Online: 24 April 2009

Tiada ulasan: