Selasa, 10 Mei 2011

Guru sandaran tidak terlatih masih digantung tak bertali

Oleh Azhar Abu Samah
azhar@bharian.com.my
2011/05/10

Tiada tindakan proaktif berkaitan isu penempatan

TIGA bulan berlalu selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan 'berita baik' mengenai khidmat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat tiga tahun berturut-turut disambung, namun penyelesaian isu ini belum 'nampak cahaya di hujung terowong'.

Pengumuman Muhyiddin pada 3 Mac lalu pada sidang media selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod di Sabah, nampaknya ibarat ‘angin lalu’ sekadar singgah sipi-sipi di telinga pegawai yang dipertanggungjawabkan, khususnya di Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Saban hari e-mel bhsurat@bharian.com.my akan menerima keluhan guru, antaranya berhubung bebanan kerja perkeranian, kenaikan pangkat dan kelemahan pentadbiran sekolah. Bagaimanapun, surat ‘kemarahan’ GSTT berhubung sikap pegawai JPN ketika ditanya mengenai kedudukan mereka, termasuk jawapan ‘belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT daripada Kementerian Pelajaran’ mengatasi e-mel yang diterima sejak sebulan dua ini.

Muhyiddin sebelum ini menjelaskan kerajaan sudah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Jika arahan beliau sudah dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, kita tidak nampak kenapa alasan standard belum menerima surat siaran atau waran lantikan GSTT yang digunakan kakitangan JPN di seluruh negara bagi menjawab pertanyaan GSTT terus digunakan.

Dua surat pembaca yang diterima melalui e-mel – masing-masing satu dari Ipoh, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyebut JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) memberi alasan ‘belum menerima waran lantikan’, manakala ‘JPN Wilayah tidak mendapat hitam-putih mengenainya’.
Pada masa sama, tiada kenyataan lanjut mengenai nasib GSTT yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran, selepas pengumuman dibuat Muhyiddin, sekali gus memberi tekanan kepada GSTT yang sudah berkeluarga mengenai masa depan mereka, apatah lagi kalau suami dan isteri, kedua-duanya GSTT.

Malah, kebanyakan GSTT yang sudah berkeluarga menyatakan kesediaan untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka di seluruh negara, hanya menunggu surat daripada JPN mengenai kawasan penempatan mereka.

Tekanan ini turut dirasai GSTT bujang, khususnya yang sudah membeli kenderaan untuk kemudahan pengangkutan ketika berkhidmat dulu, selain membawa pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah, zon dan daerah.

Akibat ‘digantung tidak bertali’ oleh kementerian, sudah ada kes guru berkenaan terpaksa menjual semula kereta kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan.

Hakikatnya, kekurangan guru di Wilayah Persekutuan sebenarnya meruncing, khususnya guru Bahasa Melayu dan Sejarah. Disebabkan penumpuan berlebihan kepada penyediaan guru Sains dan Matematik di sekolah, akhirnya berlaku lambakan guru yang mengajar kedua-dua subjek ini di Kuala Lumpur.

Tidak dinafikan ada GSTT yang ditawarkan tempat di sekolah sejak April lalu, namun kebanyakan GSTT yang diambil bukan daripada mereka yang mengajar di sekolah asal, sebaliknya dari sekolah lain. Bukankah pengetua sekolah asal ada mencadangkan GSTT yang berkhidmat sebelumnya disambung perkhidmatan di sekolah berkenaan? Inilah antara persoalan yang perlu dijawab JPN berhubung soal ketelusan dalam pengambilan semula GSTT.

Isu GSTT sebenarnya bukanlah rumit untuk diselesaikan. Timbalan Perdana Menteri sudah membuka jalan penyelesaian ke atas isu penempatan guru tidak terlatih ini. Bagaimanapun, pengumuman Muhyiddin tidak disambut dengan tindakan proaktif baik pada peringkat kementerian mahupun jabatan.

Jika persoalan 13,000 GSTT pun tidak dapat ditangani dengan berkesan, apatah lagi pelbagai masalah membabitkan lebih 350,000 guru di seluruh negara. Tidak hairanlah banyak persoalan tertunggak, antaranya beban tugas berlebihan guru masih tidak dapat diselesaikan kementerian berkenaan.

Berita Harian Online: 10 Mei 2011

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam, merujuk kepada keluhan ramai GSTT, saya berpendapat, kementerian pelajaran seharusnya memberi satu tarikh yang pasti kepada GSTT supaya mereka boleh merancang masa mereka dengan baik. Sekiranya kementerian memerlukan masa secukupnya, katakan sahaja kepada GSTT mereka hanya akan diambil pada sessi persekolahan tahun hadapan dari membiarkan mereka menunggu sesuatu yang terlalu samar dengan tidak berbuat apa2. sekian....

Tanpa Nama berkata...

salam, saya bersetuju dengan pendapat untuk memberi kementerian lebih masa merancang dengan baik di mana mahu menempatkan GSTT. GSTT tidak semestinya ditempatkan di sekolah, boleh juga ditempatkan di kolej matrikulasi, politeknik atau kolej komuniti sesuai dengan tahap dan kelayakan masing2.

Tanpa Nama berkata...

salam..
mungkin ini masa yang tepat bagi kementerian untuk mengkaji sessi persekolahan dari pagi sehingga petang. dengan khidmat tambahan dari GSTT yang ada, sessi persekolahan boleh dipanjangkan seperti yang pernah dicadangkan suatu masa dahulu.

Tanpa Nama berkata...

salam, jika benar kementerian memerlukan lebih masa untuk mengkaji isu penempatan GSTT, harap kementerian dapat memberi satu tarikh yang pasti agar semua GSTT tidak terus menunggu dan tertanya tanya...