Rabu, 9 November 2011

600 sekolah daif akan dibaiki


MUHYIDDIN (dua dari kanan) ketika sesi bergambar selepas merasmikan program 'Teach For Malaysia' (Teach) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada RM500 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk menambah baik sekolah kebangsaan tahun depan akan digunakan untuk memperbaiki segera infrastruktur 600 sekolah kebangsaan seluruh negara yang telah usang dan memerlukan bantuan segera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah-sekolah berkenaan dikenal pasti hasil proses audit fizikal yang dilaksanakan pertama kali tahun ini untuk mengenal pasti kedudukan sebenar infrastruktur semua sekolah.

"Saya telah putuskan bahawa daripada RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Belanjawan 2012 bulan lalu untuk penambahbaikan sekolah kebangsaan, sebahagian besar peruntukan untuk membaiki sekolah yang telah pun kita senaraikan sebagai sekolah daif.

"Ini penting untuk kita menentukan supaya mutu pembelajaran di sekolah tidak merosot hanya dengan keadaan sekolah yang uzur dan kurang selamat," katanya selepas mengadakan sesi dialog terbuka bersama 50 graduan universiti yang terpilih untuk menyertai program 'Teach For Malaysia' (Teach) di sini semalam.

Mengulas mengenai proses audit fizikal itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian pernah melaksanakan proses berkenaan tetapi ia hanya dilaksanakan secara ad-hoc tetapi kini secara menyeluruh.

"Kita hendak tahu kedudukan sekolah yang ada di seluruh negara bukan sahaja dari segi fizikal tetapi melihat keperluan tambahan seperti tambahan bilik, kelas dan bilik guru," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menjawab beberapa soalan daripada 50 graduan Teach yang dikenali sebagai 'fellow' yang akan ditempatkan di 17 sekolah yang memerlukan guru di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur untuk mengajar subjek penting seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi. - Bernama

Kosmo Online: 9 November 2011

Tiada ulasan: