Isnin, 14 November 2011

Konsert 1Malaysia penuhi keperluan kursus


SALAH satu persembahan pada Konsert 1Malaysia 1Irama 1Dunia di IPG Kampus Ipoh, Perak, baru-baru ini.


PELATIH Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh menganjurkan Konsert 1Malaysia 1Irama 1Dunia di kampus itu, baru-baru ini untuk memenuhi kehendak proforma subjek Aktiviti Muzikal Dalam Bilik Darjah (MZE3102).

Pensyarah Pembimbing yang bertindak selaku Penyelaras Konsert, Mubin Md. Nor berkata, konsert itu juga merupakan satu usaha untuk memberi peluang kepada para pelatih yang mengambil opsyen Pendidikan Muzik sebagai subjek minor di IPG Kampus Ipoh mengekspresi bakat muzik mereka.

“Penganjuran konsert ini dapat memenuhi peluang keemasan bagi pihak penganjur untuk menambah pengalaman dan pendedahan secara langsung serta lebih menyeluruh tentang konsep pendekatan pengajaran muzik di sekolah.

“Selain itu, ia merupakan usaha ke arah pembinaan dan pembentukan kualiti insan guru yang seimbang,” jelasnya.

Konsert yang dikendalikan oleh 20 pelatih unit PISMP G3 itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seperti nyanyian, tarian dan juga persembahan muzik instrumental.

Menurut Pengerusi Program, Mohamad Saidi Zainal Azim, persembahan pada malam konsert itu dibahagikan kepada tiga segmen merangkumi segmen Nusantara, Retro Evergreen dan World Music yang diiringi oleh Kumpulan Orkestra IPG Kampus Ipoh.

"Penganjuran konsert sulung ini berjaya mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak dan ia sememangnya memberikan kepuasan penuh dan kebanggaan kepada kami.

"Ia dibuktikan melalui sokongan dan kehadiran ramai penonton dari dalam mahupun dari luar kampus,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 November 2011

Tiada ulasan: