Sabtu, 5 November 2011

Lepasan TESL dakwa dianaktirikan

2011/11/05

SAYA terpanggil untuk mengulas pengumuman dibuat Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, mengenai penempatan guru Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) pada tahun depan di saluran televisyen berbayar.

Anak saya bukan pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) atau Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sebaliknya memasuki bidang pendidikan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan menamatkan pengajian enam tahun untuk menjadi guru.
Malangnya, beliau dianaktirikan kerana penempatan diberi kepada KPLI dan GSTT terlebih dulu dan anak saya terpaksa menunggu giliran untuk ditempatkan di sekolah pada tahun depan.
Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat menempatkan kumpulan guru TESL pada tahun ini juga kerana mereka akan hilang satu tahun perkhidmatan.

Usah jadikan cuti persekolahan satu alasan kerana pernah berlaku sebelum ini, ada penempatan pada musim cuti sekolah yang panjang.

Setahu saya, sudah berkali-kali mesyuarat pertukaran guru diadakan dan sepatutnya kali ini penempatan guru perlu dibuat dengan segera dan bukannya dilewatkan.

Untung pengetahuan pihak berwajib, saya juga seorang guru dan saya juga telah ditempatkan di sekolah pada cuti sekolah akhir tahun.
Diharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu dengan menempatkan pelajar TESL pada tahun ini dengan kadar yang segera, demi kepentingan semua pihak dan mengelakkan lepasan TESL menjadi penganggur berijazah.

BAPA PRIHATIN,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 5 November 2011

Tiada ulasan: