Isnin, 14 November 2011

Sekolah kena bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pihak sekolah dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab terhadap tahap keselamatan kenderaan yang digunakan pelajar untuk mengikuti rombongan pada musim cuti persekolahan.

Selain memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi oleh syarikat pengangkutan, pihak sekolah juga diwajibkan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran penyertaan pelajar daripada ibu bapa mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah yang lebih bertanggungjawab dan terancang perlu diambil oleh pihak sekolah bagi memastikan perjalanan dilakukan lancar dan selamat.

"Pihak sekolah kena usaha lebih untuk memeriksa tahap keselamatan dan pematuhan pengangkutan baik dari aspek kenderaan, insurans, lesen, pengalaman pemandu dan rekod syarikat pengangkutan.

"Paling penting guru harus mendapatkan persetujuan ibu bapa sebelum melibatkan pelajar dalam apa-apa rombongan khususnya pelajar yang tinggal di asrama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemalangan melibatkan bas dan sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang, Perak yang mengorbankan empat orang dan 36 lagi cedera pada pagi Sabtu lalu.

Mohd. Puad berkata, walaupun rombongan dilakukan pada musim cuti sekolah, prosedur keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

"Perancangan penting bagi memastikan tiada pihak yang akan dipersalahkan jika berlaku kemalangan," katanya.

Beliau juga menasihatkan pihak sekolah supaya tidak memilih destinasi yang melibatkan perjalanan di kawasan yang berisiko kemalangan.

"Pihak sekolah juga harus peka terhadap keselamatan sekeliling terhadap pelajar misalnya perjalanan ke kawasan tanah tinggi," katanya.

Selain di jalan raya, beliau berkata, aspek keselamatan harus diutamakan dalam apa jua aktiviti di luar bilik darjah.

"Aktiviti perkhemahan dan rekreasi juga antara yang berisiko mengundang kemalangan jika langkah keselamatan tidak diambil dengan teliti," katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 November 2011

Tiada ulasan: