Isnin, 14 November 2011

Warga pendidik perlu jadikan membaca amalan wajib

KUALA KRAU 13 Nov. - Warga pendidik perlu banyak membaca terutama buku-buku berbentuk motivasi, pendidikan dan pengurusan bagi memastikan mereka sentiasa bermaklumat.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, sebagai permulaan, pengetua, guru besar dan guru perlu membaca senaskhah buku setiap bulan sebelum ditambah apabila sudah menjadi kebiasaan.

Katanya, antara bahan bacaan wajib adalah buku berjudul Haluan Kerja Pendidikan yang ditulis oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud

''Budaya membaca merupakan kunci kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara kerana minda rakyatnya sentiasa berfikir secara kreatif dan inovatif.

''Ini dapat dibuktikan di Jepun yang mana rakyatnya telah membudayakan amalan membaca sebagai rutin harian walaupun berada dalam bas, stesen kereta api dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Profesionalisme Warga Pendidikan Daerah Jerantut bersama Pengarah Pelajaran Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Jengka 25 dekat sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, program tersebut adalah inisiatif jabatan untuk mendekati warga pendidik, pemimpin sekolah dan komuniti setempat.

Beliau berkata, SK LKTP Jengka 25 dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana ia mempunyai simbolik kekuatan jaringan antara sekolah, komuniti dan alam semula jadi iaitu Gunung Senyum.

''Gerak kerja bersepadu empat tonggak iaitu guru, pemimpin sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti dapat merangsang kecemerlangan pendidikan dan pencapaian program transformasi kerajaan dalam sektor pendidikan," katanya.

Utusan alaysia Online: 14 November 2011

Tiada ulasan: