Jumaat, 4 November 2011

Pahang kuasai anugerah kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2011


SEBAHAGIAN penerima anugerah bergambar kenangan selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan kokurikulum Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 3 Nov. - Sekolah-sekolah di Pahang mendominasi Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Kementerian Pelajaran yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Lama (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Pelajarnya membolot empat anugerah individu dan berkumpulan serta memenangi tiga tempat teratas sebahagian besar kategori yang dipertandingkan selain tokoh gurunya, Abd. Muin Othman diiktiraf sebagai penerima Anugerah Juri bersama bekas Pengarah Pelajaran Sarawak, Datuk Dr. Julaihi Bujang.

Noraziman Mohd. Sakri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, Pekan, dinobatkan sebagai Murid Cemerlang kategori Sekolah Rendah Lelaki, manakala Muhd. Azrul Anuar Mohd. Hoe dan Norain Nazifah Shaedon dari SK Pendidikan Khas Kuantan, masing-masing mengungguli Murid Cemerlang (Pendidikan Khas Sekolah Rendah).

Tunas Kadet Remaja SK Perantau Damai, Rompin pula dinobatkan sebagai Pasukan Badan Beruniform Cemerlang kategori Sekolah Rendah.

Sementara itu, SK Ulu Lubai, Limbang yang pernah mencipta sejarah sebagai sekolah pedalaman pertama diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Februari lalu sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila merangkul tempat kedua bagi kategori Sekolah Rendah Luar Bandar Cemerlang.

Tempat pertama kategori itu dimenangi SK Tengku Ampuan Intan, Terengganu manakala SK Permatang Tok Mat, Pulau Pinang di tempat ketiga.

Utusan Malaysia Online: 4 November 2011

Tiada ulasan: