Sabtu, 5 November 2011

Sekolah diberi kebebasan penuh

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/11/05

Kerajaan tidak mahu pelaksanaan dasar baru ganti PPSMI jejas pelajar

PUTRAJAYA: Semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara diberi kebebasan penuh untuk menentukan sama ada untuk terus menggunakan bahasa Malaysia (BM) atau bahasa Inggeris (BI) dalam pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga kohort terakhir tamat pada 2015 serta 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihak sekolah lebih mengetahui keadaan pencapaian murid dan pelajar masing-masing selepas PPSMI dilaksanakan sejak 2003.
“Sekolah lebih mengetahui keadaan pelajar dan murid mereka, kerana sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri. Misalnya, sewaktu kita meminta mereka (sekolah) menggunakan BI untuk PPSMI, tetapi mereka tidak berbuat demikian sebaliknya memilih BM kerana ada pelajar dan murid yang tidak faham, jadi mereka boleh teruskan (amalan ini).

“Lagipun, kita (kementerian) tidak mahu mengganggu proses pembelajaran sedia ada, lebih-lebih lagi jika mereka (guru dan pelajar) sudah biasa dengan keadaan ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditanya berkata demikian ketika mengulas sama ada sekolah mempunyai kuasa menentukan penggunaan BI atau BM dalam PPSMI, sekiranya wujud desakan daripada ibu bapa, kerana ia dikhuariti boleh menimbulkan masalah di sekolah terbabit, khususnya jika sekolah itu tidak mempunyai guru yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan ibu bapa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kebebasan yang diberikan kepada pihak sekolah bertujuan memastikan proses pembelajaran sedia ada di lebih 9,900 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tidak terjejas khususnya sepanjang proses pertukaran antara dasar PPSMI dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Saya harap ibu bapa boleh menerima keputusan hari ini (semalam) kerana kerajaan tidak mahu pelaksanaan sebarang dasar baru dianggap sebagai satu bebanan yang boleh menjejaskan pembelajaran anak-anak di sekolah.

“Jadi, bagi anak-anak yang sudah ada dalam sistem kita (PPSMI) biarlah mereka teruskan sampai habis sehingga Tingkatan Lima, manakala anak yang baru masuk sekolah, biarlah mereka mengikut sistem baru (MBMMBI)," katanya.

Beliau juga berkata kementerian akan mengeluarkan pekeliling baru mengenai keputusan terbaru kerajaan itu dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan pelaksanaannya untuk diikuti semua sekolah rendah dan menengah.

Keputusan untuk memansuhkan pelaksanaan PPSMI diumumkan pada 8 Julai 2009 selepas pelaksanaannya sejak 2003 mendapat bantahan pelbagai pihak, selain kajian mendapati kira-kira tiga juta pelajar gagal memperolehi sijil, sekali gus tercicir daripada sistem persekolahan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris.

Berikutan itu, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan dasar MBMMBI mulai 2011, supaya ia tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI.

Berita Harian Online: 5 November 2011

Tiada ulasan: