Selasa, 15 November 2011

Penyediaan penilaian prestasi guru berdasarkan penghasilan kerja

2011/11/15

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Yang Kecewa, Rawang’ dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 22 Oktober – Guru kecewa jadi mangsa kroni sekolah di Selangor.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002, penilaian prestasi ke atas seseorang pegawai, termasuk guru dibuat tidak hanya berdasarkan penghasilan kerja ditunjukkan pegawai atau guru itu saja. Penilaian prestasi hendaklah dibuat dengan merangkumi beberapa faktor seperti berikut:
  • Penghasilan kerja berbanding Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang ditetapkan, yang memberi markah sebanyak 50 peratus. Penghasilan kerja terbabit dinilai dari segi kuantiti kerja, kualiti kerja, ketepatan masa dan keberkesanan hasil kerja. Bagaimanapun, bagi seorang guru yang mengajar di kelas dan di bilik kuliah, penghasilan kerja mereka boleh diukur dengan menggunakan Buku Rekod mengajar masing-masing sebagai SKT yang akan dijadikan asas penilaian prestasi oleh pegawai penilai mereka;

  • Kualiti peribadi yang memberi markah 25 peratus, iaitu dinilai dari segi kebolehan mengelola, disiplin, proaktif dan inovatif serta jalinan hubungan dan kerjasama yang dipamerkan oleh pegawai;

  • Pengetahuan dan kemahiran pegawai yang memberi markah 20 peratus: dan

  • Kegiatan dan sumbangan di luar tugas rasmi yang memberi markah lima peratus.
    Pengetua atau guru besar sebagai Pegawai Penilai juga bertanggungjawab menentukan penilaian prestasi dilaksanakan secara teratur, objektif, adil dan telus berdasarkan pencapaian kerja guru sepanjang tahun yang dinilai dan tidak dipengaruhi faktor peribadi dan penilaian tahun-tahun sebelumnya.

    Sehubungan itu, bagi memastikan penilaian prestasi guru dibuat adil dan telus, ketika penyediaan penilaian prestasi, pengetua atau guru besar sebagai Pegawai Penilai hendaklah berbincang dengan guru berkenaan mengenai pencapaian kerja mereka dan memaklumkan prestasi mereka secara keseluruhannya supaya guru berkenaan boleh memperbaiki prestasi kerja mereka pada masa akan datang.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PELAJARAN

  • Berita Harian Online: 15 November 2011

    Tiada ulasan: