Rabu, 2 November 2011

Enam kelas khas untuk 100 murid disleksia di Kelantan


Sariah Amirin menyatakan sesuatu kepada Dr. Mafauzy Mohamed (kiri) selepas Seminar Masalah Pembelajaran Disleksia di USM Kubang Kerian, kelmarin.


KOTA BHARU 1 Nov. – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan telah mewujudkan sebanyak enam kelas khas untuk murid disleksia di enam buah sekolah rendah di seluruh negeri bagi menempatkan lebih 100 murid bermasalah berkenaan.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas negeri, Nasrudin Talib berkata, sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian (3) Kota Bharu, SK Kamil (1) Pasir Puteh, SK Sultan Ibrahim (1) Pasir Mas , SK Kuala Krai, SK Gua Musang (1) dan SK Tanah Merah (1).

Beliau berkata, SK Kamil (1) menempatkan murid disleksia teramai iaitu 30 orang, manakala sekolah lain antara lima hingga 28 murid.

“Kelas berkenaan ditubuhkan bagi memberi ruang kepada murid disleksia mendapatkan pembelajaran khas untuk kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Masalah Pembelajaran Disleksia Peringkat Negeri di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus kesihatan di sini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Persatuan Disleksia Malaysia dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Kampus Kesihatan.

Pengarah Kampus Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed merasmikan seminar itu. Hadir sama, Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin dan Timbalan Dekan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat PPSK, Prof. Madya Dr. Shaharum Shamsuddin.

Nasrudin memberitahu, murid disleksia mempunyai kelemahan untuk menguasai kemahiran 3M, walaupun dari segi fizikal tidak ada beza dengan murid normal lain.

“Mereka boleh dikenal pasti mengalami disleksia seperti lemah dalam bacaan, tulisan dan ejaan serta keliru antara abjad b dan d, p/q, m/w, n/u, y/j dan s/z. Mereka juga mengalami masalah pembalikan huruf dan nombor, sukar mengingati perkataan, memahami konsep masa serta mengenali waktu,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya dikenal pasti pada peringkat lebih awal, kelemahan tersebut boleh diperbaiki melalui kaedah pembelajaran khas yang disediakan di sekolah.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa yang berasakan anak-anak mereka mengalami masalah berkenaan, segera merujuk kanak-kanak terbabit ke USM Kampus Kesihatan untuk pengesahan bagi diberikan bantuan sewajarnya.


Utusan Malaysia Online: 2 November 2011

Tiada ulasan: