Ahad, 13 November 2011

Baiki sekolah elak ancam keselamatan

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2011/11/13

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan memperuntukkan RM1 bilion menerusi Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah adalah tindakan tepat kerana struktur bangunan yang uzur dikenal pasti antara punca utama kemalangan di sekolah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penyelenggaraan semua kemudahan di sekolah adalah perlu bagi memastikan keselamatan guru, kakitangan dan pelajar.
Katanya, penyelenggaraan itu penting membabitkan kemudahan seperti padang permainan, kantin dan bilik kakitangan yang berisiko menyebabkan kemalangan jika tidak diselenggara dengan baik.
“Sekolah juga tempat kerja buat guru, kakitangan selain pelajar yang tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994. Menjadi tanggungjawab pengurusan memastikan sekolah sebagai tempat selamat dan sihat bagi mengelak insiden yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah di Dewan NIOSH Wilayah Selatan, di sini semalam. Hadir sama Pengurus NIOSH Wilayah Selatan, Aidil Adha Sulaiman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani.

Sementara itu, Lee berkata, program OSH di sekolah penting bagi mendidik guru serta pelajar mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Walaupun tahap OSH di Malaysia belum optimum, kesedaran itu sudah diterapkan dalam semua aspek kehidupan seperti di rumah, sekolah, taman rekreasi dan paling utama tempat kerja.
“Malah lebih membanggakan adalah kesedaran mengenai OSH kini banyak diterapkan dalam kurikulum sekolah. Guru sebagai kunci utama boleh memainkan peranan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di sekolah dapat dikekalkan,” katanya.

Berita Harian Online: 13 November 2011

Tiada ulasan: