Rabu, 16 November 2011

Jangan Asingkan Murid Berkeperluan Khas Dalam Kegiatan Kokurikulum : KP Pelajaran

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Pengetua dan guru-guru diminta tidak mengasingkan murid-murid berkeperluan khas daripada murid-murid lain dalam kegiatan kokurikulum, sebaliknya penglibatan golongan istimewa ini harus diperluaskan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Ini bertujuan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas dan murid biasa berinteraksi dan bersosial dalam suasana yang muhibah sekaligus mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan murid biasa bahawa terdapat rakan-rakan sebaya di sekelilingnya yang mempunyai ciri-ciri istimewa, katanya.

Berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 1Malaysia di sini hari ini, beliau berkata melalui aktiviti yang dilakukan secara bersama itu, pemupukan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan saling membantu juga dapat diterapkan.

"Pada masa ini, kegiatan kokurikulum yang dilakukan oleh murid berkeperluan khas dilaksanakan secara berasingan iaitu penyertaan dan pertandingan dalam mana-mana aktiviti kokurikulum berlaku dalam kalangan murid-murid ini sahaja.

"Pengasingan murid berkeperluan khas dengan murid biasa dalam aktiviti di luar bilik darjah ini akan menyukarkan dan menjadi halangan kepada murid-murid ini berinteraksi dan bergaul sesama rakan sebaya," katanya.

Abdul Ghafar berkata sekiranya hal itu berterusan, ia akan menyukarkan usaha kementerian untuk melaksanakan pendidikan inklusif yang merupakan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Negara dan menjadi amalan di negara-negara lain.

Untuk itu, katanya, "pembudayaan kokurikulum untuk semua" harus dipraktikkan secara terangsang dan berkesan kepada semua murid di peringkat sekolah dan semua pihak yang terlibat perlu memantapkan peranan masing-masing.

Abdul Ghafar berkata peluang yang maksimum perlu diberikan kepada murid-murid berkeperluan khas ini untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum seperti mana yang dilaksanakan dalam kegiatan sukan.

Beliau berkata kejayaan murid-murid berkeperluan khas dalam bidang sukan membuktikan mereka juga berupaya bergiat aktif di luar bilik darjah.

"Situasi ini memberi mesej kepada kita bahawa mereka ada keistimewaan masing-masing. Oleh itu guru perlu mengenal pasti keistimewaan murid-murid ini dan usahakan peningkatan kemahiran mereka sehingga mencapai tahap cemerlang," katanya.

Seramai 72 murid berkeperluan khas dari seluruh negara merupakan penerima anugerah itu dalam 24 kategori.

Tokoh Murid Cemerlang Kokurikulum Pendidikan Khas ialah Muhammad Saifuddin Ishak dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor (Putera) dan Siti Noor Radiah Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor (Puteri).

-- BERNAMA


BERNAMA: 16 November 2011

Tiada ulasan: