Isnin, 14 November 2011

SMSAH rai persaraan pengetua


Pengetua SMSAH, Ahmad Din menerima cenderamata kenangan daripada wakil guru sekolah berkenaan sempena persaraannya di Kedah, baru-baru ini.


PENGETUA Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, (SMSAH) Jitra, Kedah, Ahmad Din, baru-baru ini menempa sejarah dalam hidupnya apabila bersara sebagai pendidik di sekolah yang sama ketika beliau menuntut di situ sewaktu remaja.

Dalam ucapan persaraannya, beliau menasihatkan warga SMSAH mengekalkan semangat bekerja secara berpasukan untuk terus mencipta kejayaan.

"Hasilnya SMSAH mampu menjadi salah sebuah sekolah terhebat dan dinobatkan sebagai sekolah berprestasi tinggi pada 2009," katanya bangga.

Ahmad berasal dari Sanglang, Kedah dan dilahirkan pada 24 Oktober 1953 pernah menuntut di SMSAH pada tahun 1968 hingga 1969 sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya.

Sebelum bersara beliau pernah bertugas di Sekolah Menengah Jitra, Sekolah Menengah Langgar, Sekolah Menengah Tandop dan Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Pengerusi Pengetua-Pengetua Zon Utara ini pernah dianugerahkan status pengetua cemerlang dan telah menghasilkan dua buah buku iaitu Buku Ucap Bicara (2010) serta Geletek Guru (2011).

Majlis persaraannya diadakan dalam suasana sayu dan meriah apabila beliau diarak menaiki beca dari bangunan sekolah menuju ke pintu pagar pada hari terakhir bertugas di sekolah berkenaan yang merupakan satu penghormatan daripada guru, kakitangan serta pelajar SMSAH yang tidak ternilai harganya.

Utusan Malaysia Online: 14 November 2011

Tiada ulasan: